Header Ads

Siapa hang Nazri nak arahkan GLC

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz kerana mengeluarkan surat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menarik balik saman yang difailkan ke atas bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli.

Menurut Anwar (gambar kanan) , jika sesuatu perkara membabitkan GLC, arahan mesti datang daripada menteri kewangan atau Kementerian Kewangan dan bukannya Nazri.

“Arahan seumpama ini sepatutnya datang dari Menteri Kewangan (dan bukannya Nazri) kerana ini membabitkan GLC.

“Kerajaan sebelum ini berkata mereka mempunyai kes yang kukuh terhadap Tajudin yang membabitkan berbilion ringgit (dalam mengemukakan saman). Ini amat menganggu,” kata Anwar yang juga seorang bekas menteri kewangan.

Menurut sebuah portal berita, Nazri dalam sepucuk surat yang dihantar bulan ini kepada GLC berkenaan dan Danaharta memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk menyelesaikan semua saman sivil ke atas Tajudin yang tertangguh.

“Dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan kesemua tuntutan awam ke atas Tan Sri Dato Tajuddin Ramli dan beberapa yang lain dengan menarik balik dengan segera atas pandangan bahawa kerajaan dan Kementerian Kewangan telah bersetuju agar kes-kes yang ada akan diselesaikan di luar mahkmah.

“Untuk makluman anda, kerajaan telah memberikan saya mandat untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam hal ini,” kata Nazri (gambar kiri) dalam surat itu.

Dalam perkembangan berkaitan, adalah difahamkan semua kes membabitkan Tajudin, kerajaan dan GLC berkenaan sedang dirundingkan bagi mencari penyelesaian pada semua peringkat proses mahkamah tersebut.

Laporan portal memetik sumber, sesetengah perkara itu telah dibawa kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Md Raus Shariff, yang juga adalah hakim pengurusan bagi mahkamah perdagangan hari ini. Kes-kes berkenaan telah ditetapkan pada 29 September bagi pengurusan kes sementara menunggu penyelesaian.

Antara GLC yang menyaman Tajudin adalah Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holdings Bhd, Pengurusan Danaharta Bhd, Malaysia Airlines and Duta Skyline Bhd.

MAS membuat laporan pertama terhadap Tajuddin pada 2002 berhubung kerugian RM8 bilion yang dialami syarikat penerbangan itu. Tajudin merupakan pengerusi eksekutif MAS dari 1994 hingga 2001.

Pada 1998, Danaharta menuntut pinjaman tidak berbayar daripada Tajuddin, namun beliau juga gagal untuk menyelesaikan pinjamannya, dianggarkan RM1.41 bilion setakat 8 Oktober 2001. -Keadilandaily
Dikuasakan oleh Blogger.