Header Ads

Bayi maut tersimbah air panas di rumah pengasuh

AMPANGAN: Seorang ibu muda terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada pengasuh memaklumkan bayi lelakinya yang baru berumur 10 bulan, terkena simbahan air panas, pada pagi 10 September lalu.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Lily, 33, berkata, ketika kejadian, anaknya, Chua Ea Son berada di rumah pengasuhnya.

“Pengasuh memberitahu, air panas yang diangkat tiba-tiba tumpah dan terkena badan anak saya yang sedang merangkak untuk mendapatkan sebiji bola.

“Kemudian, saya segera mengambil Ea Son di rumah pengasuh dan membawanya ke sebuah klinik,” katanya di kediamannya di Taman Dusun Setia dekat sini, semalam.

Menurutnya, doktor di klinik terbabit memaklumkan tubuh Ea Son melecur kira-kira 40 peratus dan menasihatkan supaya membawa bayi itu ke hospital untuk rawatan lanjut.

Lily berkata, dia mengikut nasihat doktor terbabit namun kesal kerana sebuah hospital swasta di sekitar bandar ini, memaklumkan mereka tidak boleh menerima pesakit yang melecur pada badan, setelah beberapa hari anaknya dimasukkan ke dalam wad.

“Saya diminta menghantar Ea Son ke hospital kerajaan kerana pihak hospital swasta berkenaan mendakwa tidak mempunyai tenaga pakar.

“Anak saya hanya diberi makan ubat sepanjang berada di hospital swasta terbabit,” katanya.

Menurutnya, Ea Son seterusnya dipindahkan ke hospital kerajaan, tetapi keadaannya pada ketika itu agak tenat.

“Luka akibat kesan lecur pada dada, kedua-dua belah tangan dan kaki kirinya terkena jangkitan kuman.

“Akhirnya, setelah tiga hari dirawat di hospital kerajaan, bayi lelaki saya meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru kira-kira jam 4 pagi, 16 September lalu,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.