Header Ads

Bekas perajurit Sarawak dipinggir kerajaan BN

WarkahDaily – Kerana ucapan ‘keramat’ Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) yang mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang sebenar kemerdekaan tanah Melayu berbanding polis yang bekerja dengan British di Bukit Kepong, bekas-bekas perajurit kini mula mendapat perhatian yang semenjak dulu tidak dipedulikan pemerintah.

Ada bekas polis, askar dan balu-balu yang suami mereka terlibat dengan kemerdekaan tanah Melayu kini mendapat sumbangan dan sebagainya. Semuanya selepas Mat Sabu ‘membongkarkan’ sedikit sejarah sebenar negara yang cuba disembunyi kerajaan BN sejak dulu lagi.

Namun, dalam kesibukan kerajaan BN mempertahankan sebahagian pemimpinyang sebulu dengan mereka konon hanya golongan mereka sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan, ada segolongan yang terpinggir dari penghargaan dari pihak kerajaan.

Yang diPertua PAS kawasan Miri, Jofri Jaraiee telah mendedahkan bagaimana bekas perajurit Sarawak (Sarawak Ranger Veteran Association) yang pernah bertugas semasa Darurat di Tanah Melayu dari 1948-1960 tidak mendapat penghargaan dan perhatian daripada pihak pemerintah.

Bekas perajurit ini pernah membantu askar tanah Melayu dari ancaman pengganas komunis dan memastikan negara ini selamat daripada peperangan.

Pendedahan itu seperti yang dilaporkan akhbar Borneo Post itu menyebut, sepatutnya pihak kerajaan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh bekas-bekas ranjer Sarawak.

Jofri menyebut, mereka sudah lama memohon agar diberi tanah lot dan juga kenaikan elaun bulanan yang berpatutan dengan keadaan hidup semasa bukan hanya diberi RM100 sebulan.

“Sepatutnya elaun mereka dinaikkan sekurang-kurangnya setanding dengan indeks kemiskinan nasional sebanyak RM700.

“Pihak kerajaan kena bertindak dan mengambil perhatian dengan segera akan nasib yang menimpa bekas perajurit dan veteran ranjer ini agar mereka juga dapat menikmati kebebasan yang mereka perjuangkan selama ini dari ancaman komunis.

“Jangan hanya pihak komunis yang menyerah diri saja dapat pengampunan dan diberi kemudahan sedang pejuang kemerdekaan dipinggir begitu saja,” beritahu Jofri.

Namun, mungkin kerana berlainan fahaman politik menyebabkan sumbangan mereka tidak dipandang kerajaan BN yang sudah tentu bertentangan dengan gagasan 1Malaysia Najib yang memberi hak yang sama tidak mengira apa warna sokongan politik mereka, asalkan rakyat Malaysia, mereka berhak untuk menikmati hak sebagai rakyat Malaysia yang lain.

“Adakah mungkin disebabkan mereka berlainan fahaman politik dengan parti pemerintah?

“Adalah tidak adil bagi bekas prajurit ini yang bermatian berperang menentang musuh negara sedangkan musuh yang menyerah diri pula diberi keistimewaan,” jelas YDP PAS Miri.

Menurut YDP PAS Miri lagi, kerajaan BN hanya mengambil pendekatan ‘membantu’ para perajurit bila tiba musim pilihanraya sahaja kerana mengharapkan undi mereka. Sedangkan selama ini nasib bekas perajurit ini terabai begitu saja tanpa sebarang bantuan yang sepatutnya.

“Kalau pun diberi elaun bulanan sebanyak RM100 ini bukan sesuai lagi untuk hidup pada masa sekarang dimana kos kehidupan semakin meningkat dan bekas perajurit pun bukan minta banyak dan sudah tentu mereka pun bukan boleh hidup lama lagi untuk menikmati erti kemerdekaan yang mereka perjuangkan selama ini,” kata Jofri membela bekas perajurit Sarawak yang dipinggirkan kerajaan BN.

“Kita minta pihak kerajaan jangan biarkan bekas veteran perajurit dan bekas polis yang pernah berkhidmat untuk negera dipinggir begitu saja tanpa sebarang bantuan dan perhatian.

“Ingat lah mereka ini juga yang patuh dan taat setia menurut perintah semasa berkhidmat dengan pemerintah,” tegas Jofri.

Namun, jelas Jofri, mereka yang sudah tidak lagi berkhidmat dengan pemerintah, mereka langsung tidak hargai terutama sekali golongan atau anggota bawahan.

Menurut YDP PAS Miri itu lagi, mungkin hanya segelintir saja yang diberi keistimewaan kerana mempunyai kepentingan tertentu.

“Ramai lagi anggota-anggota bawahan yang menerima nasib yang malang cuma tidak dilaporkan mungkin disebabkan mereka takut atau tidak tahu ke mana hendak mengadu.

“Kita minta pihak kerajaan bersikap adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” tegas Jofri Jaraiee.
Dikuasakan oleh Blogger.