Header Ads

EPL: Liverpool dibelasah 0-4 di tangan Tottenham Hotspur

LONDON: Liverpool mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila kecundang 0-4 di tangan Tottenham Hotspur di White Hart Lane, semalam.


Luka Modric (tengah) meledakkan gol pertama Spurs seawal minit permainan yang berkesudahan, Tottenham Hotspur menang 4-0 ke atas Liverpool di White Hart Lane, semalam.
Skuad kendalian Kenny Dalglish yang bermula cemerlang mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan pertama, turut tersentak dengan kekalahan tipis 1-0 di Stoke minggu lalu.

Perlawanan yang dijangka menarik bertukar menjadi berat sebelah sebaik pemain tengah The Reds, Charlie Adam diperintah keluar padang selepas dia yang mengasari Scott Parker, menerima kad kuning kedua.

Bagai jatuh ditimpa tangga, Liverpool terus dirudum malang apabila terpaksa bermain dengan sembilan orang selepas pemain pertahanannya, Martin Skrtel turut dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua ketika permainan masih berbaki 25 minit.

Spurs yang membuka jaringan seawal minit ketujuh perlawanan menerusi rembatan cantik jarak jauh Luka Modric, memanfaatkan kelebihan itu untuk mendominasi permainan dan merobek gawang pasukan pelawat.

Jermaine Defoe menjadikan kedudukan 2-0 dan rakan serangannya, Emmanuel Adebayor, semakin diterima peminat-peminat Spurs dengan jaringan berganda untuk menjadikan jumlah gol yang diledak penyerang pinjaman Manchester City itu tiga gol dalam dua penampilan.

Jika kekalahan yang dialami Liverpool itu merupakan yang terbesar sejak Dalglish mengambil alih kelab itu pada Januari lalu, maka ia juga bermakna Spurs mencatat kemenangan terbesar ke atas lawan mereka itu sejak 1963.

Kemenangan kedua Tottenham yang dicatat selepas tumbang dua pada dua perlawanan pertama, melonjakkan mereka ke tangga ke-11 dengan enam mata. Liverpool pula berada di tangga kelapan dengan tujuh mata. -Agensi

Dikuasakan oleh Blogger.