Header Ads

Gambaran negatif negeri Johor: Guan Eng sedia ke mahkamah

Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) sedia ke mahkamah mendapatkan pita rakaman ucapannya yang dikatakan memberi gambaran negatif mengenai kadar jenayah di Johor.

Menurutnya, bagi memastikan kenyataan itu memang dari mulutnya, beliau mahu membawa perkara itu ke mahkamah untuk mendapatkan rakaman percakapannya itu.

“Saya akan mendapatkan pita rakaman itu melalui mahkamah untuk mengetahui sama ada benar saya ada mengeluarkan kenyataan memburukkan Johor. Saya akan menjawab semua dakwaan selepas semua proses mahkamah (mendapatkan pita rakaman) selesai.

“Kalau mereka dakwa mereka ada pita itu, saya nak dengar sendiri. Untuk itu, kita perlu ke mahkamah, biar proses mahkamah putuskan. Saya hairan, banyak dakwaan mengatakan saya ada buat kenyataan memburukkan Johor.

Mula-mula mereka kata saya buat kenyataan itu di Australia, sekarang Singapura pula, lepas ini negara mana pula?,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Georgetown, semalam.

Pada sidang media itu, Guan Eng tidak mengaku atau menafikan beliau ada membuat kenyataan memburukkan Johor dalam satu majlis di Singapura baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, beliau tidak ingat sama ada ada membuat kenyataan seperti itu kerana setiap hari, beliau perlu menyampaikan banyak ucapan.

“Saya tak ingat ada sebut mengenai Johor ataupun tidak. Yang saya pasti, dalam ucapan (teks) yang disediakan, tidak ada,” katanya.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai rakaman audio disiarkan di TV3 yang mendedahkan beliau memburukkan Johor berhubung kadar jenayah di negeri itu pada satu majlis di republik itu 12 Ogos lalu, Guan Eng berkata, beliau perlu menyemak konteks kenyataan itu dibuat.

“Jika saya ada membuat kenyataan itu, mari kita lihat konteks... ia adalah perbualan tertutup,” katanya yang mengakui belum mendengar rakaman itu.

“Adakah ia (kenyataan mengenai Johor) memang dibuat atau tidak, ataupun jika memang ada kenyataan itu, dalam konteks apa? Itu yang perlu saya ketahui melalui pita rakaman itu kerana ia majlis tertutup. Saya hendak tahu, dalam konteks apa kenyataan itu dibuat. Ini menandakan saya tidak ingat kerana saya banyak beri ucapan dalam satu hari,” katanya.

Pada sidang media itu, Guan Eng turut mengedarkan transkrip ucapannya di majlis tertutup itu bagi membuktikan beliau tidak membuat kenyataan memburukkan Johor.

Terdahulu, Guan Eng menafikan laporan yang dikeluarkan Bernama berhubung kenyataannya yang memburuk-burukkan negeri Johor ketika ditemu ramah oleh sebuah stesen radio luar negara baru-baru ini.

Guan Eng berkata, beliau langsung tidak menyebut perkataan ‘Johor’ malah hanya menjawab soalan juruhebah stesen radio Australia Broadcasting Corporation (ABC) yang banyak bertanyakan soalan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Pulau Pinang. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.