Header Ads

Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia: Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun

WarkahDaily – Akhirnya Malaysia kalah 0-2 kepada Jepun dalam perlawanan pertama Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 pusingan ketiga Zon Asia di Stadium Tosu, Jepun awal malam ini (waktu Malaysia).

Gol pertama Jepun diperolehi di separuh masa pertama hasil jaringan Keigo Higashi pada minit ke-11 dengan permainan hampir keseluruhan dikawal pemain skuad ‘Samurai Biru’ itu. Baca di sini.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menyekat pintu gol Malaysia dibolosi lebih banyak di separuh masa pertama walaupun pertahanan skuad Harimau Muda itu tampak longlai dan tewas.

Jepun terpaksa berpuas hati dengan satu gol di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula, corak permainan skuad bimbingan Ong Kim Swee tampak sedikit berubah dengan beberapa cubaan memasuki kawasan pertahanan Jepun dengan gerakan menarik dilakukan.

Malaysia mempunyai peluang keemasan di minit ke-61 apabila benteng pertahanan Jepun sudah tewas, penyerang Malaysia sudah berada di posisi ‘satu-satu’ dengan penjaga gol Jepun, namun tiada cubaan rembatan dilakukan oleh pemain Malaysia dan peluang itu disia-sia begitu sahaja.

Melihat Malaysia cuba membocori benteng mereka, Jepun menambah asakan ke kubu Malaysia sehingga perlawanan kelihatan kembali dikuasai Jepun.

Permainan Malaysia kembali nampak tidak menarik seperti di masa pertama apabila banyak melakukan kesilapan mudah sehingga begitu mudah memberi ruang kepada pemain Jepun menerjah kubu Malaysia, namun tindakan cemerlang Khairul Fahmi yang boleh dipuji menyekat gawang Malaysia daripada dibocori.

Ketika permainan Jepun nampak tersusun, pemain sentiasa disiplin dengan posisi masing-masing, lain pula di pihak skuad Ong Kim Swee, pemain tampak tidak keruan lagi dengan begitu mudah meninggalkan posisi mereka sehingga memberi peluang mudah pemain Jepun memasuki ruang Malaysia sehingga gol kedua Jepun terhasil di minit ke-77 hasil jaringan pemain gantian, Ryohei Yamazaki ketika benteng Malaysia seolah-olah tidak berfungsi untuk menyekat pemain Jepun melakukan kucar-kacir di kawasan gol Malaysia.

Tampak jelas, Mahali yang sentiasa ‘rajin’ naik-turun meninggal posisinya sehingga ruang kawalan begitu mudah dibocori pemain Jepun. ‘Rajin’ tidak bertempat yang mahu naik ke atas oleh Mahali membawa padah apabila setiap gerakan dan kawalan bolanya begitu mudah dipatahkan pemain Jepun sehingga serangan Malaysia sekadar terbantut di tengah padang.

Paling tidak masuk akal, bagaimana Izad boleh diberi peluang untuk berada di posisi penyerang yang tampak tidak berfungsi langsung dan bahagian serangan Malaysia nampak layu dengan ketiadaan Wan Zack Haikal yang terpaksa keluar di separuh masa pertama akibat kecederaan.

Kedudukan Jepun menewaskan Malaysia 2-0 kekal sehingga wisel dibunyikan selepas tiga minit masa tambahan diberikan pengadil.

Apa-apa pun, Jepun memang layak untuk menang, dan tahniah buat Khairul Fahmi kerana bertindak cemerlang menghalang Jepun daripada berkenduri gol pada malam ini.

Malaysia masih lagi ada 90 minit untuk menghapuskan defisit 0-2 gol Jepun pada perlawanan kedua (timbal balik) di laman sendiri pada 22 Februari tahun depan jika mahu layak ke pusingan seterusnya.

Pada 23 November nanti, Malaysia akan menerima kunjungan Syiria, manakala Jepun akan bertandang ke Bahrain sehari lebih awal dalam pertemuan seterusnya bagi Kumpulan C.
Dikuasakan oleh Blogger.