Header Ads

Kes perbicaraan Mat Sabu: Kerajaan BN semakin jakun

WarkahDaily – Semakin lama semakin tidak masuk akal apa berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, bagaimana pendakwaan berlaku ke atas satu kes yang berkaitan sejarah di sebuah mahkamah.


Mohamad bercakap kepada media selepas dibebaskan oleh mahkamah. | foto Harakahdaily
Semalam, satu perbicaraan ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) berhubung dakwaan konon Mat Sabu menghina polis yang terlibat dengan sejarah Bukit Kepong yang melibatkan ‘Mat Indera’.

Dipetik dari Harakahdaily, peguambela Mohamed Hanipa Maiden menganggap kes yang melibatkan Mat Sabu sebagai kes tidak masuk akal dan karut kerana tidak ada kes yang berkaitan sejarah dibicarakan di mahkamah melainkan hanya di Malaysia.

Kata Hanipa, sepatutnya isu itu dibawa ke pentas akademik (dibincangkan secara ilmiah), bukan ke mahkamah seperti berlaku ke atas Mat Sabu.

Mungkin ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan Mat Sabu sebelum ini, cuba menggunakan mahkamah sebagai pentas ‘menutup’ lubang pembohongan dan putar belit sejarah yang berlaku sejak begitu lama oleh pihak berkepentingan.

Dalam perbicaraan pagi semalam, Mat Sabu telah dibebaskan pada pukul 12.15 tengah hari dengan ikat jamin RM15 ribu. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dikenakan tahanan dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.

Kes beliau akan disebut sekali lagi pada 27 Oktober ini dan dibicarakan pada 5 hingga 9 Disember depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Selain Hanipa Maidin, Mat Sabu turut dibela peguam Amirudin Zulkiply manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusuf dan Suhaimi Ibrahim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajudin.

Turut hadir memberikan sokongan moral kepadanya ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Khalid Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Kedah, Nasir Mustaffa dan ramai lagi kepimpinan PAS dari Pulau Pinang dan Kedah.

Dikuasakan oleh Blogger.