Header Ads

Letupan di Empire Gallery kerana saluran gas bocor - Menteri

WarkahDaily – Siasatan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati letupan yang berlaku di pusat beli belah Empire Gallery, Subang kerana saluran gas yang bocor di bahagian restoran di aras bawah kompleks berkenaan.

Perkara itu diberitahu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung dalam sidang media semalam di tapak kejadian.

Dipetik dari berita Bernama, Chor Chee Heung berkata mungkin kebocoran telah lama berlaku dan bila berlaku percikan api, ia telah menyebabkan letupan.

Menurutnya lagi, laporan awal pihak bomba juga telah mengesahkan semua aspek keselamatan di bangunan berkenaan berfungsi dengan baik dan Suruhanjaya Tenaga turut mengesahkan saluran gas berpusat itu dipasang oleh pihak pakar.

“Namun agak malang bagi Empire Gallery kerana baru hanya beroperasi selama satu tahun setengah, kebocoran yang mengakibatkan letupan pula berlaku,” kata Chor kepada media.

Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak polis dan juga Suruhanjaya Tenaga masih lagi melakukan pemeriksaan intensif terhadap bangunan berkenaan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat sebelum orang awam dibenarkan masuk.

Laporan yang dikeluarkan itu turut menafikan letupan yang berlaku di bangunan Empire Gallery itu dikaitkan dengan kegiatan pengganas atau sabotaj mana-mana pihak.
Dikuasakan oleh Blogger.