Header Ads

Liga Juara-Juara Eropah: Madrid, Inter, Barca menang, Man Utd nyaris diaib, Man City tewas

WarkahDaily – Aksi saingan bola sepak peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah berlangsung sengit awal pagi kelmarin dan semalam apabila beberapa gergasi bola sepak menang bergaya dan ada yang bernasib malang.


GANDINGAN MANTAP…Kaká dan Cristiano Ronaldo meraikan kecemerlangan gandingan mereka untuk gol kedua Real Madrid di Bernabeu kelmarin. | foto AFP
Kelmarin, Kaka, Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema menjadi wira apabila membantu Real Madrid untuk mengungguli kumpulan D selepas membenam Ajax Amsterdam 3-0 di Bernabeu. Gol-gol Real dijaringkan di separuh masa pertama.

Manakala Lyon turut mengutip tiga mata selepas menewaskan Dinamo Zagreb 2-0.

Dalam aksi kumpulan B, gergasi Itali, Inter Milan berjaya menumpaskan tuan rumah, CSKA Moscow 3-2, manakala satu lagi perlawanan, menyaksikan Trabzonspor seri 1-1 menentang Lille.

Wakil England, Manchester United nyaris diaibkan FC Basel apabila seri 3-3 di Old Trafford dalam aksi kumpulan C. Man Utd bermula garang apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Danny Welbeck di separuh masa pertama, namun Basel bangkit di separuh masa kedua dalam tempoh dua minit untuk menyamakan kedudukan sebelum mendahului tuan rumah 3-2 menerusi sepakan penalti oleh Alexander Frei.

Namun, tandukan cantik Ashley Young pada minit akhir permainan menjadi penyelamat maruah tuan rumah daripada menerima kekalahan kepada FC Basel.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan C, Benfica menewaskan Otelul Galati dengan jaringan 1-0.

Aksi kumpulan A, kelab dari Jerman, Bayern Munich membenam Manchester City 2-0 hasil jaringan Mario Gomez.

Sedikit kontroversi buat Man City apabila Tevez cuba mendatangkan ‘masalah’ buat pasukannya apabila enggan bermain menjadi pemain gantian sehingga menyebabkan pengurus Man City berang dan bertindak cuba ‘menghalau’ Tevez dari kelab berkenaan.

Manakala Napoli turut berjaya mengutip tiga mata selepas menumpaskan kelab Sepanyol, Villarreal 2-0.


BERGAYA...Lionel Messi meraikan golnya menentang BATE di Minsk, Belarus dalam aksi kumpulan H Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi semalam. Messi menjaringkan dua gol bantu Barcelona menang 5-0. | foto AP
Bagi aksi awal pagi semalam, juara bertahan Barcelona berpesta gol 5-0 dalam aksi kumpulan H menentang pasukan dari Belarus, Bate Borisov. Penyerang sensasi, Lionel Messi menambah koleksi golnya untuk turut menyumbang dua gol buat kemenangan Barca.

Manakala bekas juara, AC Milan pula terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Viktoria Plzen 2-0 di San Siro.

Bagi aksi kumpulan E, Chelsea terpaksa berkongsi mata 1-1 dengan Valencia manakala Leverkusen berjaya menewaskan Genk 2-0.

Saingan kumpulan F menyaksikan wakil England, Arsenal mengutip mata penuh dan mengekalkan momentum kecemerlangan mereka selepas menewaskan Olympiacos 2-1. Manakala wakil Marseille dari Perancis berjaya menumpaskan kelab dari Jerman Borussia Dortmund 3-0.

Kumpulan G, menyaksikan Porto menewaskan Zenit 3-1 dan Shakhtar Donetsk seri 1-1 dengan APOEL.
Dikuasakan oleh Blogger.