Header Ads

Muhyiddin pun hilang keyakinan terhadap Najib tapi Jamal Abdillah masih lagi tertipu

WarkahDaily – Sekarang ini bukan sahaja rakyat kebanyakan yang sudah mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahkan orang Umno sendiri termasuklah pemimpin kanan mereka yang mula menjauhi Najib dan ada cubaan untuk menjatuhkan Najib sebagai presiden Umno-BN dan Perdana Menteri. Baca di sini dan sini.

Tapi apa yang pelik, bagaimana seorang penyanyi sensasi dan dipalit dengan kontroversi ‘barang terlarang’ sebelum ini boleh terpikat dengan kepimpinan Najib yang sudah pun ‘expired’ tu.

Semalam, penyanyi Jamal Abdillah secara sah menjadi ahli UMNO apabila bertindak menyerah borang keahlian kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh di Ibu Pejabat UMNO, di Kuala Lumpur semalam.

Jamal yang sebelum ini dilanda kontroversi ‘barang terlarang’ telah mengakui dia sudah lama memberi sokongan kepada Umno walaupun baru sahaja mendaftar sebagai ahli.

Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah B. Haji Ali berkata, beliau menyertai Umno kerana yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib dan pemimpin Umno mentadbir negara.

Dakwa Jamal, jika bukan kerana Umno yang ‘pandai’ memerintah Malaysia, tidak mungkin beliau mampu bertahan bergelar penyanyi sehingga kini. Walaupun beliau mendakwa kemasukannya dalam Umno tidak mempunyai kepentingan peribadi tapi seolah-olah beliau merasakan ‘selamat’ sebagai Jamal sekarang kerana Malaysia diperintah Umno.

“Saya bukan menyertai UMNO untuk kepentingan diri ataupun mempunyai agenda tersembunyi tetapi kerana saya yakin dengan parti keramat UMNO. Saya yakin dengan prinsip saya dan saya rasa kalau parti lain yang memerintah negara, tidak mungkin saya mampu bertahan bergelar penyanyi sehingga kini.

“Kerana kepimpinan Barisan Nasional yang berjaya mentadbir dengan aman damai maka saya mampu bertahan (sebagai penyanyi) sehingga kini,” beritahu Jamal.

Di manakah Jamal melihat betapa ‘hebatnya’ Umno memerintah negara ini apabila berkata Umno-BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat. Kalau menjaga periuk nasi artis dengan membuka seluas-luasnya ruang hiburan tanpa batasan memanglah penulis WarkahDaily (WD) setuju dengan Jamal.

Namun, jika kata Umno-BN jaga kebajikan rakyat, kenapa sudah 53 tahun merdeka, rakyat Malaysia masih lagi ada yang tidak dapat mengecapi letrik, air dan kemudahan yang lengkap dan sempurna?

Kenapa ramai lagi rakyat hidup dalam kemiskinan? Jika Umno-BN jaga kebajikan rakyat, kenapa saban hari harga barangan sentiasa naik, subsidi harga petrol tidak mampu diberikan, padahal untuk korporat dan bangsa asing yang melabur di negara ini begitu mudah diberi kemudahan dan subsidi.

Penulis WD setuju jika Umno-BN hanya jaga kebajikan golongan kroni, pengikut setia Umno-BN dan rakan-rakan sekeliling. Tapi rakyat Malaysia yang tidak menyokong Umno pula dibuli, dipulau dan dinafikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Malaysia bukan hak kepunyaan ‘mak bapak’ Umno sorang aje.

Jadi, bagi penulis WD, golongan artis seperti Jamal cuba mendekati Umno adalah sekadar ‘menyelamat’ periuk nasi mereka dalam dunia hiburan tanpa sempadan yang memang menjadi ‘umpan’ untuk mengharu-birukan golongan muda-mudi dengan hiburan yang tidak terkawal. Mereka lebih seronok jika golongan muda-mudi hanya tertumpu hidup mereka dengan hiburan semata-mata.

Jamal sepatutnya membuka mata seluas-luasnya, apa yang pemimpin Umno-BN lakukan semenjak 53 tahun merdeka. Jangan duk fikir nak selamat dalam dunia hiburan semata-mata, tapi fikirlah juga pembentukan modal insan muda-mudi yang semakin parah dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Banggakah kita dengan kemajuan yang dikecapi bersama-sama dengan kerosakan muda-mudi yang bebas melakukan apa sahaja kehendak nafsu serakah mereka sehingga kelahiran anak luar nikah bukan lagi berita yang sensasi bahkan boleh dikatakan setiap hari ada kejadian buang anak.

Jangan fikir dunia hiburan aje, fikirlah juga kemerosotan ekonomi, moral, agama dan sebagainya. Fikirlah juga gejala rasuah di kalangan pemimpin kerajaan yang berleluasa, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan keganasan terhadap rakyat yang tidak menyokong kerajaan secara membuta-tuli.
Dikuasakan oleh Blogger.