Header Ads

Norman, Memey sah bergelar suami isteri

Pasangan artis, Norman Hakim dan Memey Suhaiza kini sah bergelar suami isteri dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan, Kota Tinggi, semalam.

Dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan hantaran RM24,000, Norman yang dinikahkan oleh Iman 1, Penolong Pendaftar Nikah Kota Tinggi, Mohammad Zulkifli Tarmizi, dengan hanya sekali lafaz.

Norman yang dilihat mengalirkan air mata sebaik selesai majlis akad nikah berkata, dia berasa sebak apabila mengingatkan dirinya yang kurang sempurna ketika menghayati lafaz taklik yang dibaca.

“Sebagai manusia kita sememangnya tidak sempurna. Apa difikirkan dan dirisaukan adalah kehidupan akan datang, namun saya berharap yang terbaik untuk masa hadapan kami,” katanya.

Sementara itu, Memey berkata, hubungan dengan anak Norman tidak menjadi masalah kerana mereka telah dipertemukan sejak perkenalan awal lagi.

“Masalah lalu tidak pernah menjarakkan hubungan saya dan anak-anak Norman, malah ia tidak pernah dibangkitkan.

“Insya-ALLAH kami akan laksanakan tanggungjawab yang dipikul bersama-sama dan berharap agar dapat meneruskan kehidupan dengan pengalaman baru selain belajar daripada pengalaman lama,” katanya.

Ketika ditanya mengenai karier isterinya itu, Norman tidak menghalang Memey meneruskan bidang seni, walaupun sudah bergelar isteri.

“Saya tidak halangan kerana bidan seni adalah minatnya. Dia juga masih baru banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Mengenai bulan madu, destinasi impian kami adalah Makkah dan juga Paris, namun dalam masa terdekat ini, kami belum dapat pergi kerana masing-masing terikat dengan jadual kerja sehingga hujung tahun depan,” katanya.

Sementara itu, ibu Memey, Nurlela Abdul Rahman, 48, berkata, sebagai ibu, dia mengharapkan yang terbaik untuk masa depan anaknya itu.

“Saya berharap Memey dapat menjadi ibu yang baik buat anak-anak Norman dan mendoakan terbaik untuknya,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.