Header Ads

Pemilik kenderaan perdagangan diberi tempoh sehingga 30 September

SEPANG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa semua pemilik kenderaan perdagangan yang masih belum mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka supaya berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.

Sekiranya tidak, mereka akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Darat 2010.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh untuk mendaftarkan semula lesen operasi tersebut kerana masa yang cukup telah diberikan kepada semua pemilik kenderaan tersebut.

Berikutan itu, kata beliau, jika pemilik kenderaan gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya mengikut akta sama.

“Saya ingin memberi ingatan dan meminta kerjasama semua pemilik dan syarikat pengangkutan darat supaya mendaftarkan kenderaan masing-masing secepat mungkin kerana tempoh yang kita berikan tinggal tidak sampai dua minggu lagi.

“Untuk syarikat-syarikat kenderaan besar tidak ada masalah tetapi bagi syarikat-syarikat kecil, mereka masih tidak mahu berdaftar.

“Langkah ini perlu kerana sehingga kini hanya 50 peratus atau 200,000 daripada 400,000 kenderaan pedagangan di Malaysia yang berdaftar dengan SPAD, jumlah berkenaan dianggap masih rendah serta tidak memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Transformasi Perkhidmatan Teksi Kumpulan Airport Limo Malaysia (ALM) Sdn. Bhd. di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi ALM, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Pada majlis itu, ALM memperkenalkan 100 unit model Proton Persona 1.6 sebagai kenderaan baharu untuk perkhidmatan limosin di KLIA yang turut dilengkapi dengan kemudahan Internet dalam kenderaan menggunakan peranti iPad2 Apple.

Syed Hamid berkata, pendaftaran semula itu penting bagi membolehkan pihaknya mengeluarkan lesen operasi baru kepada pemilik individu dan syarikat pengangkutan darat di negara ini bermula awal Januari tahun depan.

“Jangan pandang remeh perkara ini, semua kena ikut undang-undang dan kalau tidak berdaftar juga pemilik-pemilik itu boleh dikatakan beroperasi secara haram,” katanya.

Dikuasakan oleh Blogger.