Header Ads

Pergolakan BN Sabah: Musa Aman bakal dicantas?

WarkahDaily – Dalam diam-diam, rupa-rupanya Barisan Nasional (BN) Sabah sedang berhadapan satu ‘tsunami’ cantas mencantas sesama sendiri apabila dilaporkan para pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) telah memboikot Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan kabinet negeri di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Dipetik dari Malaysiakini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak begitu kecewa dengan tindakan para pemimpin LDP yang juga komponen BN itu yang dikatakan tidak menghormati Musa (gambar) dan pimpinan negeri.

Menurut Salleh, para pemimpin LDP itu telah menghadiri rumah terbuka di Istana Negeri dan pemimpin lain termasuk rumah terbuka Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dilaporkan, Presiden LDP Datuk VK Liew telah menghadiri rumah terbuka di Istana Negeri pada raya pertama, namun tidak kelihatan kelibat presiden LDP dan pemimpin lain ke rumah terbuka Ketua Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Sukan Likas pada keesokkan hari.

Apa yang menjadi tanda tanya buat Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud ialah, bagaimana Liew dan pemimpinnya dapat menghadiri rumah terbuka Shafie di Semporna pada raya ketiga dan rumah terbuka Rahim di Paparpada raya keempat padahal kedudukan rumah Shafie adalah jauh.

“Adakah mereka ini terlalu sibuk dengan komitmen lain atau sengaja boikot acara Ketua Menteri dan kerajaan negeri. Kalaulah sengaja boikot, ia sesuatu yang amat mendukacitakan kerana tidak memberi penghormatan kepada Ketua Menteri dan Kabinet Negeri,” kata Salleh.

Kedudukan boikot secara terang-terangan itu jelas sekali menggambarkan kepimpinan Musa Aman di Sabah seolah-olah tidak lagi disukai pemimpin BN lain dan menyebabkan ada usaha untuk menekan kedudukan Ketua Menteri itu dengan memboikot majlis yang diadakan Musa dan cabinet negerinya.

Usaha ‘cantas-mencantas’ dalam BN menjadi suatu perkara lumrah antara pemimpin mereka kerana masing-masing memasang cita-cita untuk berada di kerusi empuk Ketua Menteri. Sudah tentu ia akan memberi satu tamparan hebat buat kepimpin BN pusat untuk menyelesaikan masalah yang mungkin akan mencetuskan perpecahan di kalangan kepimpinan komponen BN Sabah.

Dengan kata lain, BN Sabah kini sedang dilanda musibah tentangan ‘suara senyap’ dari dalaman yang sudah muak dengan kepimpinan lama (Musa Aman) dan semakin membawa padah menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke- 13 yang semakin menghitung hari.

Penulis WarkahDaily percaya, bukan sahaja LDP yang berani meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Musa Aman, malahan banyak lagi parti komponen lain yang mungkin bakal meluahkan rasa yang sama secara diam-diam terhadap kepimpinan Musa Aman.

Tak mustahil, demi mengelak perpecahan, Musa Aman bakal dicantas dari kerusi empuknya itu oleh BN pusat sebelum PRU ke-13 menjelma.
Dikuasakan oleh Blogger.