Header Ads

Piala Carling: Owen wira Man United, Arsenal nyaris diaib kelab divisyen dua

WarkahDaily - Michael Owen masih lagi berbisa. Sumbangan besarnya untuk kemenangan Manchester United tidak dapat dinafikan lagi apabila menghadiahkan dua gol bagi memastikan Man United mengekalkan rekod bersih tanpa kalah mereka musim ini.


GEMBIRA…Michael Owen (kiri) dan Ryan Giggs meraikan jaringan tiga gol mereka berdua bagi memastikan Manchester United mara pusingan keempat Piala Carling di Elland Road semalam. | foto Action Images
Man United menang bergaya 3-0 di pusingan ketiga Piala Carling ke atas musuh lamanya, Leeds di Elland Road semalam. Dua gol dijaringkan Owen, sementara seorang lagi bintang veteran United, Ryan Giggs melengkapkan kemenangan Man United.

Bagi Arsenal, selepas aksi tidak menentu di awal musim EPL, nyaris diaibkan kelab divisyen dua, Shrewsbury Town.

Dipetik dari agensi berita AFP, kekalahan 4-3 kepada Blackburn tempoh hari kelihatan akan berulang semula buat Arsenal apabila Shrewsbury terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi James Collins di Stadium Emirates.

Tersentak gol pendahuluan lawan, Arsenal bangkit dari ketinggalan 0-1 apabila Kieran Gibbs, Alex Oxlade-Chamberlain dan Yossi Benayoun menjadi penyelamat maruah Arsenal daripada dimalukan tersingkir awal. Kemenangan itu meletakkan Arsenal turut mara ke pusingan keempat Piala Carling.

Keputusan lain Piala Carling, Stoke turut mara ke pusingan keempat selepas menewaskan Tottenham 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti setelah keputusan 0-0 di Stadium Britannia.


Pemain Arsenal, Yossi Benayoun (merah) mengejar bola ketika pertemuan Piala Carling menentang Shrewsbury Town di Stadium Emirates semalam. | foto AFP
Penjaga gol Stoke dari Denmark, Thomas Sorensen muncul wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan Massimo Luongo untuk memastikan kelebihan buat Stoke.

Di Villa Park, Bolton berjaya membenam Aston Villa 2-0 manakala Newcastle terpaksa menunggu di masa tambahan untuk menang ke atas Nottingham Forest 4-3 menerusi jaringan Fabricio Coloccini.

Selepas mengukir kemenangan bergaya menewaskan Arsenal baru-baru ini dalam EPL, Blackburn terus mengekalkan rentak kemenangan apabila skuad kendalian Steve Kean itu berjaya layak ke pusingan keempat selepas menumpaskan kelab divisyen satu, Leyton Orient 3-2 di Ewood Park.

Sementara bagi Wolves pula, belajar daripada kekalahan kepada Queens Park Rangers (QPR) dalam EPL tempoh hari, pengurus pasukan, Mick McCarthy telah melakukan lapan perubahan dengan menurunkan skuad simpanannya untuk membelasah Millwall 5-0.
Dikuasakan oleh Blogger.