Header Ads

Piala Malaysia 2011: Dua gergasi Pantai Timur intai peluang ke suku akhir

WarkahDaily – Juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan dan juara Piala FA 2011, Terengganu masing-masing mengintai peluang ke suku akhir apabila berjaya mengutip tiga mata dalam perlawanan kedua mereka malam kelmarin.


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) dicabar
pertahanan Johor FC pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin.
Kelantan meraih kemenangan kedua selepas berjaya membenam Johor FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin walaupun terpaksa bergelut dengan asakan lawan.

The Red Warriors terlebih dahulu dikejutkan pasukan pelawat apabila Eddy Helmi Manan meletak Johor FC di depan 1-0 di minit ke-11.

Selang tujuh minit, pemain tengah Kelantan, Shakir Shaari menyamakan kedudukan menjadi 1-1 apabila rembatannya dari jarak 30 meter menerjah gawang selepas terkena pemain pertahanan Johor FC dim init ke-18.

Giliran pemain gantian, Mohd Ramzul Zahini meletak The Red Warriors di depan sekaligus muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan di minit-minit terakhir perlawanan.

Perlawanan seterusnya Kelantan akan bertemu Felda United pada Rabu ini.


Terengganu mahu langkah awal ke suku akhir

Terengganu gah sebagai pendahulu kumpulan B dengan kutipan enam mata selepas berjaya menjinakkan PKNS 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu awal malam kelmarin.


PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ari (tengah) melepasi asakan pemain PKNS pada saingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.
Walaupun terpaksa bekerja keras di padang yang basah, Terengganu terpaksa menunggu di akhir perlawanan dengan memperolehi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Abdul Manaf untuk mengutip mata penuh di laman sendiri.

Terengganu berada di hadapan seawal perlawanan pada minit ke-2 melalui jaringan Mohd Ashaari Samsudin.

Namun kelebihan 1-0 tuan rumah tidak bertahan lama apabila PKNS menerusi Mohd Fauzan Dzulkifli menyamakan kedudukan pada minit ke-9 selepas berlaku salah faham di benteng pertahanan Terengganu yang menyaksikan penjaga gol Sharbinee Alwi terpaku melihat bola masuk dengan mudah di sebelah kiri gawang gol.

Separuh masa kedua bermula,skuad Penyu terus mengasak. Mereka tidak menunggu lama apabila Reeshafiq Alwi yang tidak dikawal mendapat peluang dalam kotak penalti pada minit ke-54 hasil hantaran lintang dari Abdul Hadi Yahya kemudian terus merembat kencang bola ke gawang gol yang dikawal Razi Effendi Suhit.

Sekali lagi pertahanan Terengganu nampak longgar apabila memberi peluang pasukan pelawat membuat serangan balas serta merta dengan Mohd Zamri Hassan yang baru di bawa masuk tidak sampai 5 minit berjaya menghasilkan gol untuk pasukan PKNS pada di minit ke-62.

Terengganu yang berhempas pulas mencari gol kemenangan akhirnya berjaya apabila Abdul Manaf Mamat muncul wira skuad Penyu selepas bijak menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81.

Terengganu akan bertandang ke Paroi bertemu Negeri Sembilan pada hari Selasa (esok) dalam aksi ketiga peringkat kumpulan B.
Dikuasakan oleh Blogger.