Header Ads

Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September

KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria (gambar) dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Najib berkata, Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.

Perdana Menteri berkata, semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.

“Saya juga memaklumkan persaraan awal, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri semalam.

Najib juga berkata, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan.-Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.