Header Ads

Ada sandiwara di sebalik ‘pembebasan’ Aziz Bari?


WarkahDaily – Kecaman golongan profesional, warga akademik dan mahasiswa terhadap isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari pada Jumaat lalu dilihat memberi tekanan terhadap pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dilaporkan Malaysiakini, hampir seribu mahasiswa berhimpun bagi mengadakan bantahan dan mengancam mengadakan perhimpunan lebih besar jika kemelut itu tidak diselesaikan.

Aziz Bari sebelum ini dilaporkan telah menimbulkan kontroversi apabila mengulas titah Sultan Selangor berkaitan pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama pada Ogos lepas. Kerana laporan polis yang dibuat oleh Senator Mohd Ezam Noor dan desakan pihak tertentu, Aziz telah digantung dari tugasnya oleh UIAM.

Namun beberapa hari lepas, pihak UIAM dilaporkan menarik balik penggantungan pakar undang-undang itu selepas didesak orang ramai termasuk warga universiti berkenaan. Banyak pernyataan sokongan moral ditampal di pejabat Aziz.

Menurut peguam Zulqarnain Lukman, penarikan balik penggantungan terhadap Aziz itu mungkin ekoran tekanan daripada kakitangan universiti, mahasiswa, ahli akademik, peguam dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah serta orang awam.

“Saya di pejabat profesor hari ini dan saya lihat poster menyokong anak guam saya di pelbagai tempat di fakulti,” katanya seperti dipetik dari Malaysiakini.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib dijadualkan ke UIAM, mungkin ia ada kaitan dengan tekanan dan kecaman warga universiti berkenaan, namun ianya dibatalkan kerana dilaporkan warga universiti merancang mengaadakan demo di depan beliau.

Jadi, penggantungan Aziz Bari sebagai pensyarah universiti ditarik balik dilihat sebagai meredakan kemarahan warga akademik.

Namun dibimbangi, di sebalik ‘pembebasan’ Aziz itu ada sandiwara bagi mengelabui mata warga universiti yang begitu marah dengan tindakan yang dikenakan terhadap Aziz.

Bagi Aziz, beliau menjangkakan insiden yang dihadapinya masih jauh daripada berakhir dan mungkin ianya bertambah buruk selepas ini.

“Mereka (universiti) harapkan saya bekerja macam biasa, tetapi saya kekal sebagai suspek dan polis terus mengganggu saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Aziz lagi, walaupun siasatan UIA masih belum membuat sebarang keputusan, penarikan balik penggantungannya hanya bertujuan ‘menenangkan orang awam’.

“Apa lagi selepas ini? Tindakan disiplin daripada UIA?”

Atau, tambahnya, sama ada polis akan mencadangkan pendakwaan terhadapnya dibuat berdasarkan Akta Hasutan.

Walaupun dilaporkan penggantungannya ditarik balik, pihak Polis dilaporkan membawa Aziz ke pejabatnya untuk mengambil gambar bilik dan merampas laptopnya bagi tujuan melengkapkan siasatan dan menghantar semula kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya Selangor.

Namun bagi Aziz, beliau terpaksa meneruskan kerjanya sebagai pensyarah undang-undang walaupun menghadapi pelbagai ketidaktentuan.
Dikuasakan oleh Blogger.