Header Ads

Final Piala Malaysia: Dah la Stadium Shah Alam, harga tiket melampau, ada main wayang ke?

Peminat bantah kenaikan harga tiket oleh FAM.
WarkahDaily – Aksi final Piala Malaysia 2011 akan diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini (29 Oktober) dilihat sengit disamping isu stadium yang tidak memuaskan dan harga tiket terlampau mahal.

Pertarungan Sabtu ini telah mengesahkan Terengganu turun selaku tuan rumah dan berdepan Negeri Sembilan untuk merebut piala berprestij bagi kejohanan bola sepak tanahair, Piala Malaysia edisi 2011.

Konon Stadium Shah Alam terpilih sebagai venue pentas final pertembungan Terengganu dengan Negeri Sembilan kerana Stadium Nasional Bukit Jalil sedang proses baik pulih. Jadi dakwa pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mereka tiada pilihan lain untuk pentas final Piala Malaysia musim ini.

Kelmarin, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah mendedahkan dalam Laporan Audit Negara 2010 berlakunya kerosakan bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil dan stadium itu kini sudah tamat tempoh jaminan tiga tahun perlu diselenggara dengan segera.

Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat lebih bernasib baik berbanding Stadium Sultan Mizan, Gong Badak Kuala Terengganu yang runtuh selepas baru sahaja digunakan untuk satu kejohanan Sukan Malaysia (Sukma). Tak sampai dua tahun dah runtuh.

Jadi, kerana tiada stadium lain yang mempunyai standard kualiti untuk pentas final Piala Malaysia, maka FAM dilaporkan terpaksa menggunakan Stadium Shah Alam yang dikatakan begitu jauh dari jaringan pengangkutan awam dan ianya menyukar para peminat untuk bergerak ke sana pada Sabtu ini.

Sudah tentu ia perlu kepada kos yang tinggi buat peminat bola sepak untuk datang ke Stadium Shah Alam.

Dah la jauh, harga tiket pun cekik darah

Harga tiket final Piala Malaysia 2011 ditetapkan FAM dengan harga RM50 bagi semua tempat duduk dan RM5 untuk kanak-kanak.

Pasukan final, Terengganu dan Negeri Sembilan masing-masing diperuntukkan 30 ribu tiket, manakala baki lima ribu lagi akan dijual di Stadium Shah Alam.

Kata meriahkan bola sepak tanahair, nak bagi stadium penuh dengan penuh, nak rakyat menyokong bola sepak tanahair tapi FAM seolah-olah mengambil kesempatan di atas sokongan padu rakyat terhadap bola sepak mula berputik.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Penguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menyifatkan kenaikan harga tiket tersebut seolah-olah wujud cubaan mengambil kesempatan atas sambutan hangat di kalangan peminat bola sepak akhir-akhir ini.

“Mungkin melihat sambutan yang menggalakkan dari peminat, ia menyebabkan permintaan tinggi berlaku terhadap tiket perlawanan akhir itu.

“Atas permintaan tinggi dan tempat duduk yang terhad, mungkin ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengenakan harga tiket yang tinggi bagi perlawanan tersebut,” katanya.

Dalam laporan Berita Harian, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, melahirkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket sehingga 70 peratus.

Dalam pada itu, Shabery turut mempersoalkan harga tiket dinaikkan ‘last minit’ dan kenapa tidak diberitahu lebih awal supaya para penonton boleh merancang kewangan lebih awal untuk ke Shah Alam.

Apa-apa pun, tahniah la buat Shabery Cheek kerana tunjukkan prihatinnya terhadap masalah harga tiket.

Tapi bagi penulis WarkahDaily Online, kenapa FAM menaikkan harga di waktu terakhir (last minit)? Seolah-olah macam suka-suka hati je nak naikkan harga tiket sehingga 70 peratus. Lepas tu, ada pula orang-orang penting nyatakan rasa ketidak puasan hati mereka dengan tindakan FAM. Siap marah-marah lagi.

Penulis nampak, akhirnya ‘tuan punya’ stadium akan dipersalahkan kot. Siapa lagi kalau bukan kerajaan negeri Selangor.

Dalam Facebook, dah ada dah para penyokong tegar parti tertentu yang mula mengutuk kerajaan Selangor yang mengenakan cas yang tinggi terhadap sewa Stadium Shah Alam kepada FAM yang menyebabkan harga tiket tinggi.

Waktu pilihanraya dah dekat la beb, macam-macam perkara dan modus operandi licik bakal berlaku bagi mengambil kesempatan yang ada untuk mendapat keuntungan sokongan para peminat bola sepak yang terdiri dari golongan belia dan muda-mudi yang menjadi taruhan dalam pilihanraya nanti.

Ada main wayang ke?

Tak pelik nanti, ‘Hero Tamil’ akan menjelma di penghujung ‘drama’. Akhir plot cerita, akan ada pemimpin kerajaan yang akan campur tangan bagi menurunkan harga tiket.

Selepas tu, dah tentu dikatakan ‘pemimpin prihatin’ dengan nasib rakyat, ‘rakyat berterima kasih dengan pemimpin negara’.

Hehe, tu cuma andaian penulis tapi tak mustahil ianya betul-betul terjadi kerana satu undi pilihanraya. Apa-apa boleh terjadi.
Dikuasakan oleh Blogger.