Header Ads

Guan Eng disaman RM30 juta

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman kelmarin memfailkan saman malu berjumlah RM30 juta terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng (gambar) berhubung kenyataannya mengaitkan Umno dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang pada Julai lalu.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini Isnin melalui Tetuan Jahaberdeen & Co.

Selain Lim yang juga Setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, dan ketua penyuntingnya, Fazallah Pit.

Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Zainal Abidin, 51, memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan atas kapasiti peribadi pemimpin Umno Pulau Pinang itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lepas, Lim telah menerbitkan suatu kenyataan akhbar melalui emel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lalu, lapor Bernama.

Zainal Abidin berkata kenyataan Lim itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terlibat dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan penglibatannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Sumber: The Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.