Header Ads

Institusi kewangan perlu bersedia hadapi ancaman siber

Bank dan institusi kewangan wajar memikirkan semula amalan keselamatan rangkaian tradisional mereka berdasarkan perkembangan peranti mudah alih, peluasan permintaan jalur lebar dan kemunculan ancaman siber baru.

Penyedia utama keselamatan rangkaian, Fortinet berkata, keselamatan teknologi maklumat (IT) dalam sektor kewangan mula mencecah hadnya dalam memberi jaminan tahap yang tepat mengenai pelindungan dan kerahsiaan data sensitif.

“Sejak kebelakangan ini, institusi kewangan menghadapi cabaran yang semakin besar untuk sentiasa mencari jalan bagi meningkatkan liputan keselamatan, prestasi dan ketampakan, dan pada masa sama memenuhi kehendak kawal aturan yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan.

Fortinet berkata, berikutan semakin banyak fungsi perniagaan kewangan dilakukan secara dalam talian, bank perlu merombak semula strategi keselamatan ITnya.

Menurutnya, penyelesaian yang diguna pakai memudahkan dan menyepadukan kerangka bina keselamatan merentas keseluruhan rangkaian, termasuk pejabat cawangan, sistem mesin juruwang automatik dan kemudahan mudah alih, merupakan satu-satunya kaedah yang boleh mengurangkan risiko pendedahan dan pada masa yang sama mengehadkan kompleksitinya. -Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.