Header Ads

Isu Hudud: Umno cuba laga bukan Islam-PAS, DHPP Kedah tetap bersama PAS

ALOR SETAR: Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah menafikan sekeras-kerasnya sayap parti itu menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini, malah komited untuk meneruskan hasrat melaksanakan perkara itu bersama Pas dan Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha DHPP, William Khor Eng Hin berkata, DHPP Kedah sentiasa menyokong perjuangan Kerajaan Negeri PR di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam membawa pembaharuan kepada rakyat Kedah.

Menurutnya, isu pelaksanaan hukum hudud sengaja dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mencetuskan pertelagahan dalam kalangan parti PR dan kenyataan Pengerusi DHPP Kebangsaan, Hu Pang Chow yang kononnya mengancam untuk meninggalkan parti itu sama sekali tidak benar.

“Setelah kenyataan Pang Chow dikeluarkan media, saya lantas menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan beliau ketika dihubungi mengakui terkejut dengan laporan dikeluarkan.

“Pang Chow menafikan sekeras-kerasnya perkara itu dan perkara itu melegakan DHPP Kedah memandangkan kami mempunyai hubungan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan PR,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, semalam.

Eng Hin berkata, sejak Kedah diterajui Kerajaan Negeri PR, terdapat pelbagai manfaat dinikmati oleh masyarakat bukan Melayu termasuklah pelbagai bentuk bantuan diberikan dalam aspek pendidikan, kebajikan dan keagamaan.

Menurutnya, pelaksanaan hukum hudud hanya untuk orang Islam sebagaimana diperjelaskan pemimpin Pas Pusat sebelum ini seharusnya menghindarkan kebimbangan masyarakat bukan Islam di negara ini.

“DHPP Kedah percaya pelaksanaannya bakal memberi impak positif kepada semua rakyat negara ini dan saya menggesa isu ini diketepikan segera untuk memberi fokus kepada isu lebih penting,” katanya.

Mengenai tercicirnya Kedah dari senarai negeri yang menerima peruntukan projek tebatan banjir (PTB) sebagaimana dinyatakan dalam Bajet 2012, Eng Hin menyifatkan keputusan itu satu penghinaan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Umno Kedah.

“Saya yakin keputusan itu kurang disenangi wakil rakyat BN dan Umno Kedah kerana mereka telah menabur janji kepada rakyat untuk menyelesaikan isu banjir dan apabila Kedah dipinggirkan, rakyat sudah pasti akan berasa tertipu.

“Justeru, saya berharap rakyat Kedah dapat menilai kembali sejauh mana bantuan diberikan Kerajaan Pusat terhadap mereka memandangkan masalah banjir merupakan masalah utama di negeri ini,” katanya.-SH
Dikuasakan oleh Blogger.