Header Ads

Juara Piala Malaysia: 2011 tahun tuah Negeri Sembilan

Betul-betul semangat Hobin Jang Hobin! Negeri Sembilan bangkit untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit dan muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga dalam sejarah penyertaannya dengan membenam Terengganu 2-1 di Stadium Shah Alam.

Gol kemenangan Sang Rusa dijaringkan Hairuddin Omar pada minit ke-86 menerusi satu aksi akrobatik.

Ini merupakan gol di tahun ketiganya dalam pentas final Piala Malaysia di mana sebelum ini berjaya melakukannya bersama pasukan yang sama pada 2009 dan Kelantan pada 2010.

Bagaimanapun, kerancakan separuh masa pertama oleh kedua pasukan yang saling melancarkan serangan belum membuahkan hasil sehingga para pemain menuju ke bilik persalinan.

Penyerang sensasi, Hairuddin Omar memiliki peluang pertama untuk menguji Sharbinee Allawee seawal minit pertama lagi.

Minit ke-9 S. Kunanlan hampa apabila percubaannya beberapa ela di depan pintu gol melewati palang sungguhpun hantaran tersebut telah diatur cantik Shukor Adan.

Benteng Terengganu pula mudah panik dalam tempoh 10 minit terawal dengan mudah menghadiahkan dua sepakan percuma di luar kotak penalti.

Ternyata dua pasukan ini memiliki corak berbeza. Negeri Sembilan mengawal tempo permainan dengan hantaran-hantaran pendek sementara Terengganu pula mengintai peluang untuk melancarkan serangan balas.

Tetapi nada permainan mula bertukar apabila pemain-pemain Terengganu semakin yakin untuk melakukan skil individu.

Bek finalis musim lalu itu, Irwan Fadli Idrus yang kerap naik ke atas mungkin dihukum seandainya sedikit leka kerana Joseph Kalang Tie dan Ashaari Samsudin saling bertukar posisi di bahagian berkenaan.

Minit ke-21, Farizal Marlias berdepan ujian dengan merebahkan badan bagi menghalang percubaan leret Ashaari.

Seminit selepas itu, Abdul Manaf Mamat larian melepasi tiga pertahanan lawan dan hanya mampu melepaskan keluhan tatkala bola singgah di palang Farizal yang sudah tertewas.

Perlawanan bertambah rancak apabila Negeri Sembilan mengkucar-kacirkan kubu lawan di mana pertahanan bergelut untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Pemenang Kasut Emas Liga Super musim ini, Abdul Hadi Yahaya agak berang dengan Ashaari yang tidak mengumpan bola kepadanya pada minit ke-38 walaupun berdepan situasi satu lawan dua.

Aidil Zafuan Abdul Razak kemudian dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan Abdul Manaf betul-betul di luar kotak penalti. Sepakan percuma itu kemudian gagal dimanfaatkan.

Stadium Shah Alam akhirnya bergema dengan sorakan gol pada minit ke-59 selepas menerusi gerakan licik Abdul Manaf yang disempurnakan Ashaari walaupun cuba dihalang Qhairul Anwar Roslani.

Idris Karim menjadi acahan pertamanya dari tengah padang dan dia mengambil kesempatan itu meluru ke arah Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan sehingga berlaku salah faham di antara mereka membuka ruang buatnya menghidu posisi Ashaari yang berada lebih baik daripadanya.

Sedikit kealpaan nyaris menghukum Terengganu dan situasi itu cepat dihidu Sharbinee yang melakukan tindakan berani menghalang Hairuddin yang sudah bersedia menerpa ke arah bola.

Pada minit ke-80, dengan sedikit tuah, Sang Rusa beroleh gol penyamaan di luar jangkaan. Bola yang kelihatan tidak berbahaya dibiarkan melantun masuk ke dalam pintu gol oleh Sharbinee.

Selang enam minit kemudian, Hairuddin meranapkan penantian Terengganu selama 10 tahun dengan jaringan menarik untuk menewaskan Sharbinee buat kali kedua.

Sang Penyu kali ini gagal mengulangi aksi seperti di Piala FA yang lalu apabila buntu memburu gol penyamaan dalam tempoh lima minit masa kecederaan diberikan.
Dikuasakan oleh Blogger.