Header Ads

Kelayakan Piala Dunia: Jepun, Iran berpesta, Australia langkah kanan, Singapura tercorot

Penampilan pertama Mike Havenaar bersama skuad senior berbuah hasil apabila berjaya meledak dua gol ketika skuad Samurai Biru itu membelasah Tajikistan 8-0 pada aksi Kumpulan C, Kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di Osaka, kelmarin.


Pemain Jepun, Shinji Okazaki cuba menanduk bola dalam kawalan penjaga gol Tajikistan, Alisher Tuychiev ketika berlaku perebutan di depan gol pelawat di Osaka.
Sementara pemain berpangkalan di Jerman, Shinji Okazaki (VfB Stuttgart) dan Shinji Kagawa (Borussia Dortmund) masing-masing meledak dua gol, manakala Yuichi Komano dan Kengo Nakamura menjaringkan satu gol.

Kemenangan itu meletakkan skuad Alberto Zaccheroni, mengepalai Kumpulan A sekaligus mencatatkan 15 perlawanan tanpa kalah dibawah bimbingan jurulatih Itali itu yang mula mengambil alih pasukan tersebut tahun lalu.

Dalam aksi Kumpulan E, Iran turut berkenduri , apabila memalukan Bahrain 6-0 di Tehran.

Malang buat pasukan Bahrain apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pertahanannya, Rasheed Al Hooti dibuang padang seawal minit pertama.

Kemenangan besar Iran di laman sendiri membolehkan pasukan itu, mendominasi Kumpulan E dengan mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Manakala, Bahrain terperosok di tangga ketiga dengan mengumpul empat mata melalui satu kemenangan dan satu seri daripada perlawanan terdahulu.

Manakala Jordan muncul satu-satunya pasukan dari Kumpulan A, mencatat rekod bersih tiga kemenangan berturut-turut pada pusingan ketiga kelmarin selepas membenam Singapura 3-0.

Sebelum perlawanan bermula, pengendali Jordan, Adnan Hamad melahirkan kebimbangannya terhadap permukaan rumput tiruan di Stadium Jalan Besar.


Pemain Iran bergembira selepas menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Bahrain dalam kelayakan Piala Dunia 2014 peringkat Asia di Stadium Azadi, Tehran kelmarin.
Bagaimanapun, kebimbangan jurulatih itu terhapus, apabila pasukannya berjaya mengutip tiga mata berharga sekali gus mengatasi Iraq untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan A dengan sembilan mata.

“Kami bermula agak perlahan kerana perlu menyesuaikan diri di atas padang tiruan, namun selepas memperoleh momentum kami akhirnya berjaya mengatasi pasukan tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, Singapura terus kekal menghuni tangga tercorot kumpulan dan muncul sebagai satu-satunya pasukan yang gagal mengutip sebarang mata.

Di Sydney pula, Australia tampil yakin untuk ke pusingan seterusnya selepas menang 3-0 ke atas Oman, sekali gus memastikan mereka mengumpul mata penuh dalam Kumpulan D.

Brett Holman, Josh Kennedy dan Mile Jedinak tercatat sebagai penjaring dalam perlawanan tuan rumah mencatat kemenangan ketiga.

Manakala Korea Selatan juga semakin menghampiri ke Pusingan Kelayakan Akhir setelah menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1.

Korea Selatan memperoleh kemenangan 2-1 menerusi jaringan sendiri pertahan UAE, Ismail Hamdan di Suwon.

Pemain Arsenal, Park Chu-Young menjaringkan gol pembukaan manakala gol tunggal UAE diraih pada masa kecederaan babak kedua.

Nasib berbeza dialami Korea Utara apabila harapan untuk ke Piala Dunia kali kedua berturut-turut semakin kelam apabila tumpas 0-1 kepada Uzbekistan.

Iraq pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas China, manakala Qatar turut melakar kemenangan ke atas Indonesia 3-2 di Jakarta.

Bagi Thailand pula, mereka mengikat pasukan bimbingan Frank Rijkaard, Arab Saudi tanpa jaringan.
Dikuasakan oleh Blogger.