Header Ads

Myvi 1.5 SE dan Extreme lebih kuasa, pemanduan meyakinkan

Sudah tentu kita tidak percaya bahawa produk baru keluaran Perodua kali ini, Myvi 1.5 lebih yakin dan mantap apabila ianya merupakan model yang pertama seumpamanya di dunia kerana ia tidak meniru mana-mana model Daihatsu Boon atau Toyota Passo.

Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rasyid Salleh ketika pelancaran dua model baru jenama Perodua baru-baru ini.

Perodua telah memperkenalkan dua varian terbarunya yang dikenali Myvi SE dan Myvi Extreme dengan tagline ‘Lagi Power, Lagi Best’.

Kedua-dua model berkenaan mempunyai kapasiti enjin berlainan dari yang sebelum ini iaitu 1.5 liter dengan menampilkan warna kuning bagi menampakkan ia lebih garang dan segar.

Banyak ‘renovation’ yang dapat dilihat pada model ini iaitu di bahagian hadapan, tampil dengan rekaan hud, bampar dan gril radiator yang baru. Sementara bahagian belakangnya lebih menyerlah dengan rekaan spoiler yang lebih sporty dan mantap.

Agak mudah untuk membezakan antara kedua-duanya. Lihat sahaja kepada bampar hadapan dan belakang. Myvi Extreme mengenakan bampar dengan calitan warna hitam, di samping hendal pintunya yang berwarna krom.

Kelainannya kian ketara apabila dilihat pada ruang kabin. Myvi Extreme didatangkan dengan kerusi dibalut kulit berwarna hitam, sistem multimedia berskrin sentuh bersama navigasi, butang kawalan audio pada stereng dan banyak lagi.

Myvi itu dikuasakan oleh unit enjin sama yang boleh didapati pada model Perodua Alza. Namun, ia telah menerima talaan baru bagi disesuaikan dengan karekter pemanduan Myvi.

Enjin berkod 3SZ-VE itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 76kW @ 6,000rpm dan tork puncak 136Nm @ 4,400rpm. Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, Myvi 1.5 SE dan Extreme didatangkan dengan transmisi manual atau automatik.

Suspensinya sedikit keras yang membuatkan tugas mengambil selekoh menjadi lebih yakin.

Pembinaan model Myvi 1.5 dan 1.3 liter menelan belanja sehingga RM250 juta dan memakan masa selama 27 bulan. Apa yang pasti pelaburan tersebut bakal memberi pulangan lumayan kepada Perodua tidak lama lagi.

Perodua meletakkan harapan tinggi terhadap produk baharu tersebut. Ia menjangkakan jualan Myvi 1.5 SE dan Extreme menyumbang sebanyak 45 peratus daripada 8,000 unit jumlah keseluruhan jualan Myvi setiap bulan.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas

Dikuasakan oleh Blogger.