Header Ads

Piala Sultan Selangor: Selangor kempunan lagi

WarkahDaily – Gol sendiri pemain pertahanan, Mohamed Asraruddin Putra Omar yang tertanduk masuk menerjah gawang pada minit ke-66 hasil hantaran pemain gantian Singapura Shahdan Sulaiman dari sebelah kiri pintu gol Selangor jelas merencatkan hajat tuan rumah untuk merampas kembali Piala Sultan Selangor dari Singapura di Stadium Shah Alam semalam.


Pemain Pilihan Selangor, Safee Sali bersaing dengan Pemain Singapura dalam perlawanan Piala Sultan Selangor 2011 di Stadium Shah Alam, Selangor. | foto Astro Arena
Selangor tewas tipis 0-1 kepada Singapura sekaligus memberi kelebihan buat Singapura membawa pulang kembali Piala Sultan Selangor edisi 2011.

Singapura bermula garang dengan melancarkan serangan ke arah pintu gol Pilihan Selangor namun tuan rumah yang turut diwakili penyerang sensasi negara, Safee Sali dapat mengimbangi permainan dengan turut melancarkan serangan balas ke arah pintu gol pelawat.

Edisi lalu, Singapura yang menang besar 6-0, semalam terpaksa bekerja keras menerima asakan serangan gandingan penyerang Pilihan Selangor, Safee dan Jesper Blomqvist. Namun kekentalan pertahanan pelawat menafikan usaha tuan rumah memburu gol.

Ketika perlawanan dilihat berkesudahan seri tanpa jaringan, tindakan Asraruddin Putra yang tertanduk bola ke gawang sendiri di minit ke-66 jelas menyentap emosi anak-anak buah P. Maniam untuk memburu gol.

Di minit 81, Selangor hampir menyamakan kedudukan menerusi Mohd Amri Yahyah namun jaringannya tidak disahkan oleh pengadil dari Vietnam, Thong Dinc Tuch kerana mendakwa Amri menggunakan tangan.
Dikuasakan oleh Blogger.