Header Ads

Putera Nayef dilantik Putera Mahkota Arab Saudi yang baru

DUBAI (WarkahDaily): Kerajaan Arab Saudi melalui Raja Abdullah bin Abdul Aziz al Saud telah pun melantik Putera Nayef sebagai Putera Mahkota yang baru semalam bagi melicinkan pentadbiran Kerajaan Arab Saudi.

Nayef bin Abdel-Aziz Al Saud (gambar), yang juga Menteri Dalam Negeri, turut dinamakan sebagai pewaris takhta Arab Saudi berikutan kemangkatan Putera Sultan pada Sabtu minggu lepas di New York, Amerika Syarikat (AS).

Menurut Reuters semalam, Dewan Kesetiaan yang dibentuk oleh Raja Abdullah pada tahun 2006 lalu, telah mengumumkan pelantikan Putera Mahkota baru selepas kehadiran para tetamu memberi penghormatan kemangkatan Putera Sultan.

Selain dilantik sebagai Putera Mahkota yang baru, Putera Nayef, 78, juga turut dinamakan sebagai Perdana Menteri selain mengekalkan tugasnya sebagai Menteri Dalam Negeri Arab Saudi. Peranan besar Putera Nayef dalam pentadbiran Arab Saudi itu diberi selepas masalah kesihatan yang dialami Raja Abdullah yang dilaporkan akan menjalani pembedahan kali kedua baginda.

Putera Nayef yang lahir pada tahun 1933, dilaporkan seorang konservatif dan antireformasi oleh kumpulan liberal Arab Saudi walaupun baginda turut memerangi keganasan. Putera Nayef turut memelihara pengharaman golongan wanita daripada mengundi.

Pemerintah kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah dijangka akan melakukan rombakan kabinet susulan pelantikan Putera Nayef sebagai Putera Mahkota.

Gabenor bagi bandar Riyadh, Putera Salman yang merupakan adik kepada Putera Sultan dan Nayef disebut-sebut kemungkinan dilantik sebagai Menteri Pertahanan Arab Saudi yang sebelum ini disandang Putera Sultan selain nama anak Putera Sultan, Putera Khalid turut dilaporkan akan menggantikan ayahnya.

Putera Nayef dijangka akan menyerahkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri dan seorang putera akan menyandang jawatan tersebut walaupun sehingga kini baginda masih kekal sebagai Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.
Dikuasakan oleh Blogger.