Header Ads

Roberto Carlos cadang Anzhi ambil Anelka, Cole, Van Persie dan Neymar

WarkahDaily – Sepanyol dan England memang terkenal sebagai tempat pemain bola sepak menjadi taruhan untuk kelab berbelanja besar. Antara kelab yang rutin dikaitkan dengan perbelanjaan besar ialah, Chelsea yang dimiliki jutawan Rusia, Roman Abramovich, Manchester City yang dimiliki hartawan Abu Dhabi dan gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Mereka ini menjadi buah mulut peminat bola sepak dan turut dikecam oleh kelab-kelab yang lain kerana telah merosakkan pasaran bola sepak Eropah kerana terlalu teruja dengan tawaran melampau ke atas pemain yang mahu dimiliki.

Namun kini, kelab Rusia, Anzhi Makhachkala dilaporkan cuba mengikut jejak kelab terkemuka dunia selepas pemilikinya seorang hartawan, Suleyman Kerimov sedang berkira-kira mahu berbelanja besar untuk memikat pemain ternama dari Liga England.

Menurut satu laporan, jurulatih Anzhi yang juga bekas pemain Brazil, Roberto Carlos mencadangkan agar Kerimov membeli pemain Chelsea, Ashley Cole, Nicolas Anelka, pemain Arsenal, Robin Van Persie dan dari Santos, Brazil, Neymar bagi memperkuat pasukan.

Carlos, 38, hadir ke Dagestan, Kaukasus selepas terpilih pengurusan Anzhi untuk mengemudi kelab berkenaan sejak Februari lalu. Dia dipertanggungjawab buat sementara waktu sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Gadzhi Gadzhiyev yang dipecat bulan lalu.

“Kami mahu menjadikan kelab ini sebaris dengan Real Madrid atau Barcelona,” kata Carlos kepada Channel Football Club berkaitan hajat besar kelab itu untuk menambah pemain hebat selepas usaha memancing Samuel Eto'o, Yuri Zhirkov dan Balatz Dzsudsak.

Sebelum itu, turut dilaporkan Anzhi pernah membuat tawaran kepada Samuel Eto’o sejumlah $350,000 (RM1.72 juta) seminggu.

Namun yang terkini, kelab dari Rusia itu mengambil kesempatan memancing pertahanan England, Ashley Cole yang akan tamat kontraknya bersama Chelsea penghujung musim depan dengan tawaran sejumlah $200,000 (RM974,000) seminggu dan ditambah dengan kontrak selama empat tahun.

Dengan dana besar dari hartawan Suleyman Kerimov yang juga pemilik kelab, jurulatih Anzhi yang juga bekas bintang Real Madrid itu begitu optimis untuk mendapatkan khidmat Anelka dan van Persie yang hampir pasti.

“Jika Real Madrid, Barca atau Manchester United tidak mampu membayar perpindahan mereka, kami akan bayar. Suleyman Kerimov mampu membeli apa sahaja yang dia mahu," kata Roberto Carlos.

Neymar yang masih lagi mempunyai kontrak dengan Santos, sebelum ini dilaporkan cuba dipancing Real Madrid, tapi belum ada keputusan muktamad, sementara kontrak Anelka dengan Chelsea akan berakhir pada penghujung musim ini.

Van Persie, yang baru saja meledakkan gol ke-100 bersama Arsenal, juga belum mencapai kata sepakat dengan kelab yang berpangkalan di Stadium Emirates itu dan kontraknya akan berakhir pada Jun 2013.
Dikuasakan oleh Blogger.