Header Ads

Separuh akhir kedua Piala Malaysia: Terengganu janji aksi lebih bertenaga esok

Hadi meraikan gol Manaf dalam pertemuan separuh akhir pertama di Shah Alam, Terengganu menang 2-0.
Terengganu menjanjikan persembahan lebih baik apabila bertemu Selangor di pusingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok (Sabtu).

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam baru-baru ini, Terengganu mengalahkan Selangor 2-0.

Namun Pengurus Terengganu yang juga Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata Terengganu tidak meletak keyakinan yang tinggi dalam pertemuan kedua nanti walaupun sudah mempunyai kelebihan dua gol.

“Semua perkara boleh berlaku dalam permainan bola sepak dan sebab itu Terengganu akan berusaha seberapa yang boleh untuk menang di gelanggang sendiri.

“Walaupun dengan dua gol, tidak bermakna kita seolah-olah sudah boleh masuk pertandingan akhir. Masih ada masa lagi 90 minit untuk menentukan nasib Terengganu,” katanya kepada Bernama.

Che Mat gembira dengan corak permainan pasukannya dalam separuh akhir pertama di Shah Alam dan menganggap kali ini ia merupakan peluang terbaik Terengganu untuk merangkul Piala Malaysia selepas kali pertama memenanginya 10 tahun lalu.

“Dengan doa restu rakyat dan penyokong bola sepak Terengganu dan sokongan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, kita yakin kita akan beroleh kejayaan yang kita impikan selama ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengharapkan peminat dan penyokong Terengganu menunjukkan sikap profesional menerima kunjungan pasukan Selangor nanti.

Sumber: Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.