Header Ads

Skuad bawah 23 tahun negara tewas di Hanoi, kelemahan begitu ketara

WarkahDaily - Anak buah Ong Kim Swee longlai dalam aksi awal bola sepak jemputan Piala Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) apabila tewas 1-3 kepada Uzbekistan di Stadium My Dinh, Hanoi kelmarin.


Pemain Malaysia diasak kemas pemain Uzbekistan dalam perlawanan jemputan Piala VFF di Hanoi kelmarin.
Walaupun ia sekadar perlawanan pemanas badan dan hampir sepuluh orang pemain utama tidak dapat bermain dan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat juga direhatkan oleh jurulatih, namun sepatutnya Ong Kim Swee tidak seharusnya mengambil mudah dalam perlawanan itu.

Para pemain yang diberi peluang menimba pengalaman juga patut menunjukkan semangat lawan mereka supaya tidaklah memperlihatkan kelemahan yang ketara dalam kejohanan jemputan itu.

Perlawanan dilihat dikuasai sepenuhnya pemain Uzbekistan dengan asakan bertalu-talu ke arah kubu Malaysia. Skuad Harimau Muda tiada semangat melawan. Paling ketara, Izzaq yang langsung tiada fungsi dalam perlawanan itu dan memperlihatkan beliau memang tidak layak untuk berada di padang.

Ong Kim Swee sepatutnya membuka mata dengan mencari penyerang selain Izzaq yang ada dalam pasukan Liga Malaysia yang jauh lebih bagus lagi.

Walaupun kedudukan di separuh masa pertama masih 0-0, namun kubu Malaysia sentiasa ditembusi penyerang Uzbekistan. Pertahanan yang rapuh dan longlai menyebabkan jentera serangan Uzbekistan begitu mudah memasuki kubu Malaysia, Cuma nasib tidak menyebelahi Uzbekistan untuk memburu gol walaupun penjaga dilihat sudah pun tewas.

Serangan bertali arus Uzbekistan akhirnya berhasil di separuh masa kedua pada minit ke-53, ketika pertahanan negara tampak gagal menyekat serangan lawan, akhir terhukum dengan tolakan mudah penyerang Uzbekistan yang tidak dikawal untuk gol pertama.

Sekali lagi benteng pertahanan Malaysia dihukum dengan gol kedua Uzbekistan pada minit ke-75 hasil lambungan tinggi bola melepasi penjaga gol dari penyerang Uzbek yang langsung tidak dikawal selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Malaysia.

Pada minit ke-88, gawang Malaysia bocor lagi menerusi sepakan penalti selepas pemain Uzbekistan dijatuhkan dalam kotak penalti. Pemain Uzbek berjersi nombor tujuh begitu mudah menewaskan penjaga gol dengan sepakan ke penjuru kiri pintu gol Malaysia, menjadikan kedudukan Uzbekistan di hadapan 3-0.

Malaysia mendapat gol saguhati dari pemain sayap, Fandi Othman pada minit kecederaan selepas 90 minit berlalu selepas sedikit kekalutan berlaku di depan pintu gol Uzbekistan selepas tampanan tidak kemas penjaga gol Uzbekistan yang termuntah hasil sepakan pemain berjersi nombor sembilan negara dan peluang terhidang di depan mata buat pemain sayap negara untuk menolak mudah ke gawang yang terbuka luas.

Kedudukan 3-1 kekal hingga wisel dibunyikan dan tampak jelas sekali corak permainan skuad Ong Kim Swee yang begitu lemah dan yang paling ketara, pertahanan negara begitu mudah diperkotak-katikkan oleh Uzbek walaupun ramai pemain skuad Ong Kim Swee berkubu di kawasan sendiri bagi bertahan dengan asakan bertubi-tubi lawan.

Persembahan longlai para pemainnya langsung tidak membuatkan pengendali Ong Kim Swee bimbang sambil memberi alasan kejohanan ini sebagai medan pemanas badan bagi mengelak kekuatan pasukannya diintip pasukan lawan selain daripada faktor kecederaan yang menimpa para pemain.

Namun bagi peminat, corak permainan skuad Harimau Muda itu memberi gambaran bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi memantapkan jentera serangan dan pertahanan yang begitu ketara kelemahan mereka.

Dalam perlawanan seterusnya, Malaysia akan bertemu Myanmar hari ini (Jumaat) serta Vietnam pada dua hari kemudian di Stadium My Dinh, Hanoi.
Dikuasakan oleh Blogger.