Header Ads

Terkini [Full time]: Malaysia kalah 0-5 kepada Australia

WarkahDaily – KERDIL! Itulah perbandingan yang layak diberikan buat skuad kebangsaan Malaysia yang tewas kepada Australia 0-5 di Stadium Canberra, Sydney, Australia petang Jumaat, waktu Malaysia.

Kelihatan skuad kendalian Rajagopal gagal mempamerkan aksi menarik malah terpaksa akur dengan kehebatan jaguh asia, Australia.

Banyak kesilapan mudah dilakukan oleh pemain Malaysia sehingga memberi ruang seluas-luasnya kepada pemain Australia untuk memasuki ruang Malaysia tanpa ada sekatan dari pertahanan yang nampak dari mula permainan sudah pun longlai tanpa memberi cabaran terhadap penyerang tuan rumah.

Ketika perlawanan bermula tiga minit, ketika pemain Malaysia belum lagi mendapat bola, Australia sudah pun memberi tekanan awal apabila begitu mudah menjaringkan gol tanpa ada halangan dari pemain pertahanan yang dilihat seolah-olah ‘tidur’ dalam kawasan sendiri yang memberi ruang buat pemain tuan rumah manfaatkan ruang yang ada untuk gol pertama.

Separuh masa pertama, Australia membelasah skuad Harimau Malaya 4-0.

Kawalan permainan, hampir 90 peratus dikuasai pemain Australia. Kelihatan sepanjang 90 minit permainan, Malaysia langsung tidak memberi tekanan kepada kubu Australia dan mereka hanya bermain bertahan dan sering melakukan kesilapan yang menyebabkan pasukan lawan mudah melepas kubu negara.

Hanya dua kali, Malaysia mempunyai peluang keemasan namun kerana semua pemain berada di kawasan sendiri untuk bermain bertahan dari awal perlawanan, umpanan Safee Sali sekitar minit ke-7 sekadar berlalu begitu sahaja di depan gol Australia yang sudah pun terbuka di penjuru kanan.

Permainan kemas Australia yang nampak bersahaja dan tanpa mengeluarkan kudrat yang banyak untuk pertembungan dengan skuad Malaysia. Permainan Australia lebih tersusun dan paling menarik, mereka menggunakan IQ yang tinggi untuk tidak meletihkan diri mereka kontrol bola terlalu lama di kaki, tidak seperti pemain Malaysia yang lebih suka menunjukkan skill budak sekolahnya dengan cubaan membawa bola begitu lama di kaki sehingga begitu mudah dirampas pemain tuan rumah.

Kelemahan yang sama yang tak pernah berubah iaitu hantaran tidak tepat dan suka membawa bola berlegar-legar di depan pemain lawan walaupun skill kawalan bola tidak begitu pandai berbanding pemain lawan.

Namun, apa-apa pun tahniah buat skuad Harimau Malaya di separuh masa kedua kerana berjaya memberi sebiji gol sahaja kepada Australia dan ada sedikit gerakan menarik dari pemain negara walaupun sekadar di tengah-tengah padang sahaja.

Apa yang penting, kualiti pemain Malaysia jauh ketinggalan berbanding lawannya pada petang ini iaitu Australia sehingga tumbang 0-5 di Canberra.

Dikuasakan oleh Blogger.