Header Ads

Umno pujuk rakan sekutu terima ‘korban’ kerusi pilihanraya

WarkahDaily – Dengan kata mudah, ‘terimalah jika ada kerusi mereka (parti komponen BN) dikorbankan atau digugurkan’ dalam Pilihanraya Umum (PRU) nanti.

Dipetik dari The Malaysian Insider (TMI), Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta parti komponen BN (MCA, MIC dan Gerakan) tidak mempertikai keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika kerusi yang diperuntukkan kepada mereka terpaksa digugurkan atau dikorbankan.

Menurut Zahid, parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu berkompromi bagi mengorbankan kerusi masing-masing untuk memastikan perikatan itu terus meneraju negara selepas pilihan raya umum ke-13.

“Calon yang dipilih merupakan calon yang mesti menang dan kemenangan parti dalam pilihan raya bergantung kepada siapa calonnya.

“PM (Perdana Menteri) tahu siapa yang terbaik antara yang baik di kalangan calon yang ada. Jadi adalah hak PM untuk tentukan calon dan hak mutlak itu mesti dihormati,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 1Malaysia dan Ketahanan Nasional yang dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib mengenai pelarasan formula pembahagian kerusi BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Dipetik dari Bernama, Zahid (gambar kanan) yang juga Menteri Pertahanan berkata matlamat BN pada pilihan raya umum akan datang bukan saja untuk kekal meneraju negara, tetapi juga mahu menawan semula kerusinya yang hilang ke tangan pembangkang.

“Pada pilihan raya akan datang kita mahu capai majoriti selesa iaitu lebih dua pertiga dan negeri-negeri yang terpinggir dan dipegang oleh pembangkang seperti Kelantan perlu dirampas semula,” katanya.

Beliau juga menegaskan anggota komponen parti itu harus mencari jalan untuk menyatukan dan memenangi hati rakyat bagi membantu BN menambah kerusi pada pilihan raya umum itu kelak.
Dikuasakan oleh Blogger.