Header Ads

Undang-undang murtad terhalang kerana Umno

WarkahDaily – Sepatutnya negara ini sudah lama menggubal undang-undang berkaitan pencegahan murtad, jelas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Namun kerana ego pemimpin Umno menyebabkan undang-undang berkenaan terhalang daripada diwartakan.

Tuan Guru Nik Aziz
Menurut Menteri Besar Kelantan itu, jika tiada halangan daripada Umno, sudah tentu undang-undang pencegahan murtad dapat diselesaikan dan telah diterima pakai kira-kira dua dekad yang lalu.

“Jika tidak kerana keegoan Umno yang terlampau mengutamakan sentimen politik, pada adatnya negara kita sudah pun memiliki undang-undang khusus menangani gejala murtad.

“Paling lewat pun pada sekitar awal 90-an dulu, sudah ada usaha secara serius dan bersaluran oleh PAS untuk membuka jalan perbahasan secara positif dan signifikan ke arah penggubalan suatu undang-undang berkaitan murtad,” kata Nik Aziz yang dipetik dari The Malaysian Insider.

Kenyataan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria minggu lalu, agar Akta Murtad digubal di negara ini bagi pencegahan gejala murtad.

Idea berkenaan undang-undang murtad ini muncul ketika Nik Aziz mengulangi hasrat kerajaan negeri Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hukum hudud.

Kerajaan negeri menggubal enakmen berkaitan pada 1993, tetapi tidak dapat dikuatkuasakan ekoran sekatan kerajaan pusat atas faktor peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan supaya Akta Murtad diwujudkan harus dibincangkan secara bersama-sama oleh majlis-majlis agama Islam negeri kerana soal agama terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata penguatkuasaan enakmen melarang orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada kalangan orang Islam juga terletak dalam kuasa kerajaan negeri.

Akta Murtad dicadangkan Harussaini untuk menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dikuasakan oleh Blogger.