Header Ads

[Video] Tragis Litar Sepang: Pelumba Itali terbunuh

WarkahDaily – Penunggang pasukan Gresini Honda, Marco Simoncelli terbunuh dalam satu kemalangan maut pertama di Litar Antarabangsa Sepang kelmarin.


Pengawas perlumbaan bergegas menyelamatkan Marco Simoncelli (terbaring) selepas beliau terjatuh dan dilanggar pelumba lain.| foto AFP
Insiden tragis itu berlaku selepas satu pelanggaran antara dua lagi penunggang, Collin Edwards dan Valentino Rossi dalam saingan MotoGP Grand Prix Malaysia sehinggakan perlumbaan itu terpaksa dihentikan.

Kejadian berlaku selepas Simoncelli dilaporkan telah hilang kawalan ketika di pusingan pertama dan terjatuh ketika berada di selekoh 11 selepas perlumbaan baru sahaja bermula lebih kurang empat minit.

Selepas terjatuh, Simoncelli, 24, beliau dirempuh oleh pelumba Yamaha Colin Edwards dan pelumba Ducati,Valentino Rossi yang berada di belakangnya sehingga topi keledarnya dilaporkan tertanggal dan beliau mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, leher dan dada.

Keadaan itu menyebabkan perlumbaan ditangguhkan pada pukul 4.05 petang dan beliau kemudian dibawa ke pusat rawatan kecemasan di pusat perubatan SIC, namun kecederaan yang dialaminya terlalu serius dan tidak dapat diselamatkan.

Pengarah Perubatan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Dr Michele Macchiagodena mengumumkan kematian Simoncelli pada sidang media di Litar SIC dan mengikut sumber MotoGP.com, mendiang menghembuskan nafas terakhirnya pada 4.56 waktu Malaysia.


Bapa Marco Simoncelli ditenangkan oleh krew pasukan semasa menunggu anaknya menerima rawatan di pusat perubatan SIC, Sepang. | foto AFP
Bagi Colin Edward (Monster Yamaha Tech 3) hanya mengalami kecederaan di bahu dan Valentino Rossi(Ducati) tidak mengalami sebarang kecederaan.

Simincelli pernah mengalami kemalangan di litar yang sama ketika ujian pra musim pada tahun 2010, namun beliau bernasib baik kerana topi keledarnya hanya retak.

Pelumba dari Itali itu memulakan karier dalam perlumbaan motosikal pada 2002 dalam kelas 125cc sebelum melangkah ke kelas 250cc pada 2006 dan pernah menjuarai gelaran dunia 250cc pada 2008. Beliau beralih ke kelas MotoGP pada tahun lepas dan saingan musim ini, Simoncelli menduduki tangga keenam selepas mengutip 139 mata.

Video kemalangan maut Simoncelli.

Dikuasakan oleh Blogger.