Header Ads

360,000 hektar tanah Felda Plantation akan tergadai

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuktikan dakwaannya bahawa penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia tidak akan menjejaskan aset peneroka Felda.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa penyenaraian itu akan menyebabkan 360,000 hektar tanah akan dicagar kepada FGVH bermula Januari tahun hadapan.

Ahad lalu, Ahmad turut mengakui kemungkinan tindakan itu akan dilakukan.

"Saya mencabar beliau (Ahmad Maslan) sebagai menteri yang bertanggungjawab, tolong nafikan sebab kita ada bukti bahawa antara aset yang dikorbankan ialah tanah Felda Plantation seluas 360,000 hektar," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen kelmarin.

Membidas kenyataan Ahmad bahawa "kerajaan tidak akan menyentuh walau segenggam pun tanah peneroka", Mazlan berkata, jika benar jaminan tersebut, kerajaan tidak perlu mencagarkan tanah Felda Plantation yang dibangunkan menggunakan modal daripada peneroka sendiri.

"Kalau kata tidak terjejas, kenapa tanah Felda Plantation ini yang modal pembangunan untuk membangunkan tanah datang daripada peneroka tiba-tiba ingin dipajakkan kepada FGVH?

"Bayangkan pendapatan daripada tanah ini tidak kurang daripada RM2,000 juta setahun tiba-tiba nilai pajakan hanya RM251 juta, ertinya Felda kehilangan lebih kurang 80 peratus daripada pendapatan sebenar daripada tanah ini," jelas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Selain itu, Mazlan turut mempertikai keputusan untuk mencagarkan tanah itu sedangkan beberapa negeri tidak memberikan hak kepada kerajaan Persekutuan.

"Bagaimana pula dengan isu membabitkan kerajaan negeri kerana difahamkan FGVH tidak mendapat hak milik (tanah) daripada kerajaan negeri termasuk Terengganu dan beberapa negeri lain," katanya.

Keputusan untuk mencagarkan tanah itu juga dibuat dalam mesyuarat tanpa keehadiran Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang mengerjakan umrah ketika itu.

Serah bantahan kepada PM

Sementara itu, Mazlan Aliman memberitahu, pihaknya akan menyerahkan bantahan rasmi terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Koperasi Felda (KPF) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 Disember depan.

Kempen Bantah Isa Samad yang bermula awal Oktober lalu telah mengumpul tandatangan peneroka di seluruh negara bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap Isa yang didakwa dilantik sebagai Pengerusi Felda melaui pintu belakang.

Isa juga didakwa tidak sah menjadi Pengerusi KPF kerana beliau bukan peneroka atau ahli keluarga peneroka.

Sedangkan menurut Undang-Undang Kecil Felda, untuk menjadi Pengerusi KPF, seseorang itu mestilah seorang peneroka, kakitangan Felda atau anak peneroka.

"Kita akan serahkan bantahan kepada Perdana Menteri meminta beliau segera menghentikankontrak Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan kita juga minta penyenaraian FFGVH dibatalkan," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, masing-masing Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Pokok Sena.
Dikuasakan oleh Blogger.