Header Ads

Amerika bunuh enam orang dalam serangan peluru berpandu di Pakistan

MIRANSHAH, Pakistan: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan sekumpulan anggota Taliban dan Al-Qaeda telah menyebabkan enam dari anggota itu terbunuh di Waziristan Utara berhampiran sempadan Afghanistan pada hari Selasa, kata pegawai keselamatan.

“Sekurang-kurangnya enam militan terbunuh apabila kapal perang kawalan jauh milik AS melepaskan dua peluru berpandu ke atas kawasan yang dikatakan menjadi pangkalan anggota Taliban dan Al-Qaeda di bazar Miramshah,” kata seorang pegawai keselamatan memberitahu AFP yang enggan dikenali.

Beliau berkata, asap tebal dilihat keluar selepas serangan berkenaan sambil menambah, identiti mangsa yang dibunuh tidak dapat disahkan.

Seorang lagi pegawai keselamatan turut mengesahkan serangan itu dan memberitahu jumlah kematian meningkat berbanding tiga orang yang dilaporkan sebelum itu.

Lebih daripada 60 serangan dari AS telah dilaporkan di Pakistan setakat tahun ini, dan berpuluh-puluh sejak pasukan Tentera Laut Amerika Syarikat membunuh Osama bin Laden pada 2 Mei lepas.

Dalam lawatan ke Islamabad bulan lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton menggesa Pakistan untuk mengambil tindakan dalam ‘setiap hari dan minggu’ terhadap kawasan-kawasan perlindungan militan di Afghanistan dan mengajak Taliban ke meja rundingan damai. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.