Header Ads

Bola sepak Sukan SEA 2011: Malaysia benam Thailand 2-1

Persembahan meyakinkan daripada pasukan Malaysia! Izzaq Faris Ramlan muncul wira negara dengan meledakkan gol kemenangan ke atas Thailand.


Pemain Malaysia meraikan jaringan Baddrol Bahtiar pada perlawanan menentang Thailand di Stadium Gelora Bung Karno, semalam. Malaysia menang 2-1. | foto Berita Harian
Malaysia yang turun bagi perlawanan kedua di Stadium Gelora Bung Karno merekodkan kemenangan 2-1 dan terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-24.

Kapten negara itu tidak mempersiakan peluang terhidang apabila tenang menolak masuk bola ke dalam gawang untuk memberi suntikan keyakinan kepada rentak permainan negara.

Sejak wisel dibunyikan, Thailand berusaha memburu gol penyamaan, bagaimanapun mereka tidak gopoh dalam mengaturkan serangan. Pasukan Gajah Putih itu tenang mengatur gerakan dari bahagian tengah sambil mengintai lorongan-lorongan yang boleh menghukum pasukan negara.

Walaupun bagaimanapun, Malaysia mula mendapat semula rentak permainan yang menyaksikan kelicikan Syahrul Azwari Ibrahim banyak memainkan peranan di barisan serangan.

Dia beberapa kali hampir mencatatkan namanya sebagai penjaring sekalipun secara berseorangan. Penyerang berasal dari Kota Bharu tergelincir tatkala sudah berjaya melepasi kawalan pemain lawan.

Malaysia semakin garang dan terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila Syahrul Azwari memilih untuk menghantar bola ke kawasan kotak penalti biarpun dia sendiri berpeluang untuk melakukan percubaan.

Thailand yang bermain dengan 10 pemain akibat kecederaan sebaliknya menghukum kealpaan pertahanan. Khairul Fahmi Che Mat tertewas selepas pertahanan negara sekadar memerhatikan rembatan penyerang lawan dari dalam kotak penalti.

Bagaimanapun sembilan minit kemudian, pemain gantian, Izzaq Faris yang masuk menggantikan Wan Zaharul Nizam melenyapkan kegusaran negara. Dia membalas kepercayaan Ong Kim Swee dengan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Malaysia kemudian meneruskan asakan di minit-minit akhir perlawanan sehingga berjaya mencemaskan kubu lawan. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.