Header Ads

Elly teruja dilamar Ahmad Idham

Siapa sangka penglibatannya sebagai penari latar dalam teater Impak Maksima di Esplanade Theatre, Singapura pada 2009 membuka peluang gadis berusia 22 tahun ini menceburkan diri bidang lakonan di Malaysia.

Shenthy Feliziana Sudirman (gambar) atau mesra disapa sebagai Elly tidak dapat membunyikan rasa terujanya apabila dilamar pengarah prolifik, Ahmad Idham untuk membintangi filem terbaru arahannya, Mael Lambung.

Lebih mengujakan apabila Elly berpeluang bergandingan dengan pelakon yang kini sedang popular iaitu Zizan Raja Lawak, Tai dan Juliana Evans.

"Elly meminati bidang lakonan, tetapi memandangkan industri hiburan Singapura tidak besar, jadi Elly pendamkan sahaja hasrat bergelar pelakon.

"Tetapi semasa pementasan teater Impak Maksima, abang Idham memang menyatakan hasratnya untuk menawarkan Elly berlakon di bawah
arahannya.

"Tidak sangka lamarannya itu menjadi kenyataan, bila pihak produksi Excellent Pictures menawarkan Elly untuk berlakon dalam filem Mael Lambung, Elly terus setuju," katanya kepada Zass.

Elly berkata, dia sedar penglibatannya dalam industri lakonan di Malaysia mungkin dikritik sesetengah pihak yang mungkin beranggapan Elly sekadar mahu mengejar populariti di Malaysia sahaja.

"Jujur Elly katakan, untuk menjadi popular atau mengejar glamor bukan matlamat utama Elly. Sebelum bergelar pelakon pun, Elly pernah menubuhkan sebuah kumpulan di Singapura dan kami pernah mengeluarkan beberapa single.

"Elly ke sini bukan untuk bersaing, tetapi bidang lakonan adalah minat Elly. Elly sedar, di Malaysia pun artis baru yang menyertai industri seni bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan.

"Cuma Elly berharap, peminat di Malaysia memberi Elly peluang dan menilai bakat Elly terlebih dahulu," katanya.

Tumpu bidang lakonan

Elly berkata, dia bersyukur kerana kumpulan muziknya memberi 'restu' untuk dia bergerak serius dalam bidang lakonan dan belum berhasrat kembali aktif menyanyi selepas ini.

"Langkah Elly dalam bidang lakonan baru sahaja bermula. Elly mahu memberi tumpuan lebih dalam bidang lakonan. Jika ada tawaran menyanyi sekali pun, Elly mungkin akan mempertimbangkan dahulu," kata gadis berusia 22 tahun ini.

Bagaimanapun, jika rezekinya lebih baik dalam bidang nyanyian, Elly berkata, dia berhasrat bergerak sendiri jika dan akan cuba memberi yang terbaik.

"Elly tidak mahu jika Elly bersama kumpulan, Elly akan menyusahkan mereka. Jadi jika ada tawaran, Elly tidak kisah bergerak solo.

"Elly mahu memberi tumpuan dalam lakonan, kerana Elly tidak mahu, apa yang Elly kendong berciciran, yang dikejar pula tidak dapat," katanya.

Watak Rozi cabar Elly

Menyentuh tentang wataknya dalam Mael Lambung, Elly berkata, dia memegang watak sebagai Rozi Tiger yang juga bekas kekasih Mael lakonan Zizan dan tunang kepada Tiger lakonan Tai.

"Abang Idham, Zizan dan yang lain-lain memang banyak membantu Elly membawakan watak Rozi dengan baik. Alhamdulillah, selepas tamat penggambaran, Elly rasa sudah buat yang terbaik.

"Terpulang pada penilaian penonton apabila ia ditayang kelak," katanya.

Tambah Elly, dia bertuah kerana berpeluang bekerja di bawah pengarahan Ahmad Idham kerana berpendapat pengarah tersebut mempunyai pandangan yang luas dalam bidang perfileman.

"Abang Idham pada pandangan Elly seorang yang sangat berbakat dan dia tahu apa yang dia mahukan. Memang senang bekerja dengan dia kerana abang Idham seorang yang cool guy.

"Dia juga seorang yang kreatif dan sangat menjaga orang yang berada di bawah seliaannya tidak kiralah krew, artis dan sesiapa sahaja," katanya.
Elly berkata, selepas ini dia teringin menjayakan watak lebih mencabar seperti watak aksi.

"Elly ingin mengubah pandangan orang lain yang melihat Elly sebagai gadis lemah lembut dan manja. Sebenarnya Elly memang gemarkan watak aksi yang memerlukan Elly berlawan," katanya.

Mahu tinggal di Malaysia

Tambah Elly, segala jadual seninya di Malaysia akan diuruskan oleh Excellent Pictures. Malah Elly juga tidak keberatan untuk berpindah ke Malaysia jika rezeki di sini berpihak kepadanya.

"Buat masa ini Elly memang berulang alik dari Singapura ke Malaysia. Tetapi jika banyak tawaran Elly dapat, Elly tidak kisah bermastautin di sini seperti Aaron Aziz.
"Ibu sedia menemani Elly dan jadi pengurus Elly," kata anak tunggal ini.

Sumber: Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.