Header Ads

FFM24: Hikayat Merong Mahawangsa filem terbaik

Hikayat Merong Mahawangsa dinobatkan Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyampaikan trofi serta hadiah wang tunai RM25,000 kepada pengarah filem itu Yusry Abdul Halim.

Sementara itu, Syamsul Yusof menerusi Filem KL Gangster dinobatkan Pengarah Terbaik. Siti Shahreza atau Eja pula merangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin manakala Shaheizy Sam memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Kongsi.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dimenangi Faezah Elai dalam filem Cun dan Sboki Jikan meraih Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem KL Gangster.

Filem Hikayat Merong Mahawangsa turut memenangi anugerah bagi kategori Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abd Halim), Kostum Terbaik (Rosada Abdul Hamid), Sinematografi Terbaik (Mohd Noor Mohd Kassim), Penataan Seni Terbaik (Annuar Paharudin/Kek Ting Lam). KL Gangster turut memenangi beberapa anugerah iaitu bagi kategori Filem Box-Office, Penyunting Terbaik (Syamsul Yusof/ Hishan Jupri), Penataan Bunyi Terbaik (Hisham Jupri/ Rizal Ashereff), Lakon Layar Terbaik (Syamsul Yusof).

Filem Libas pula merangkul Anugerah Cerita Asal Terbaik. Tan Sri Jins Shamsuddin menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat manakala Anugerah Pencapaian Gemilang diberikan kepada Datuk Michelle Yeoh.

FFM24 kali ini, yang bertemakan Gemilang Filem Malaysia, menyaksikan sebanyak 41 filem cereka, enam filem bukan berbahasa kebangsaan, lapan filem animasi dan 31 filem pendek dipertandingkan bagi merebut 32 anugerah menerusi Kategori Anugerah Gemilang Perdana dan Anugerah Gemilang Cipta.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.