Header Ads

Hai-O, Zafuan dan Zaquan bakal tinggalkan Negeri Sembilan

WALAUPUN berat hati untuk lepaskan mereka, tapi kami sudah tiada pilihan lain lagi. Demikian reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung beberapa pemain utamanya bakal berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Pemain terlibat termasuklah pasangan kembar, Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Mohd Zaquan Adha yang bakal menamatkan kontrak selama tiga tahun dengan PBNS pada 30 November (esok) ini.

Malah katanya, beberapa pemain muda berbakat besar juga bakal tamat kontrak, dijangka turut meninggalkan skuad Rusa dan menyertai pasukan yang menawarkan bayaran lebih lumayan.

“Kita tidak mempunyai hak menahan mana-mana pemain untuk terus kekal bersama PBNS dan bagi pasangan kembar ini, mereka sememangnya sudah ditawarkan bayaran cukup lumayan. Kita tidak mampu menawarkan bayaran yang sama.

“Ini dunia profesional dan pemain juga perlu profesional serta memikirkan masa depan. Diharap peminat faham dan tidak berfikiran negatif kerana kita bukan sengaja untuk melepaskan pemain,” katanya.

Antara nama dikaitkan bakal berpindah termasuk penyerang sensasi, Hairuddin Omar.

Penyerang dikenali dengan Hai-O itu dikaitkan akan menyertai pasukan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini dibimbing bekas jurulatih Kelantan, B Sathianathan.

Turut dikaitkan menyertai ATM ialah Aidil dan Zaquan, penjaga gol, Mohd Farizal Harun dan pertahanan, Irwan Fadzli Idrus.

Sumber: Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.