Header Ads

HIMPUN: Kehadiran Hassan Ali tak perlu dipolemik

Oleh: Subky Latif

KEHADIRAN Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Selangor dalam HIMPUNAN sejuta ummat di Stadium Shah Alam 22 Oktober lalu telah menjadi pertikaian panas dalam media.

Hassan Ali
Yang terjadi demikian ialah kerana partinya, PAS membuat keputusan tidak menyertai himpunan memprotes gejala murtad yang dianjurkan oleh beberapa NGO Islam.

Kerajaan Selangor yang dia adalah Exconya menyatakan tidak terlibat lalu menyerahkan kepada rakyat sama ada menyertainya atau berkecuali.

Lalu tiada mana-mana pemimpin PAS menjenguk ke stadium itu kecualilah Dr. Hassan. Demekian juga tidak diketahui mana-mana pimpinan kerajaan negeri hadir kecuali Dr. Hassan.

Dr. Hassan adalah pakar motivasi yang ulung. Sebelum bidang motivasi itu dikenali umum, maka Dr. Hassan sudah terjun ke situ. Ada dipercayai puluh ribu orang mendapat manfaat didikan dan latihan minda dari khidmatnya itu. Tidak terhingga bilangan orang yang telah terbuka mindanya setelah mendapat asuhan daripada kursus motivasi yang dianjurnya.

Jika sekalin yang kurang terbuka minda dari khidmatnya, maka tentulah sebagai pemecah kebekuan minda semua orang, lebih terbuka mindanya dari semua orang.

Tiada sebarang kesalahannya kepada partinya dan kerajaan yang didukungnya dengan kehadirannya itu. Partinya membuat keputusan tidak serta kerana menghormati penganjur tidak mahu ada penglibatan politik dalam himpunan itu, tetapi parti itu tidak melarang sesiapa menyertainya.

Jika pemimpinnya seperti Dato' Dr. Haron Din, atau Mohamad Sabu atau Mustafa Ali hendak pergi, maka mereka boleh pergi, bukan mewakili parti, tetapi atas nama diri sendiri. Bagaimana pun mereka menggunakan kelonggaran yang diberi oleh partinya.

Yang diketahui pergi Dr. Hassan. Tidaklah dia salah apabila dia menggunakan kelonggaran yang ada itu.

Kerajaan Negeri Selangor juga tidak melarang mana Exco dan kaki tangan kerajaan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri atau Penasihat Undang-Undang. Mereka boleh pergi dan boleh tidak pergi. Maka tiada exco yang dilihat kecuali Dr. Hassan. Kerana tidak larangan dari kerajaan, tiadalah salah bagi Dr. Hassan.

Dr. Hassan adalah pakar motivasi, pemecah segala fikiran yang buntu, pembuka saluran kepada pemikiran yang sempit. Jika dia boleh selesaikan semua masalah orang yang tersimpul, maka tentulah dia amat tahu apa yang dibuatnya.

Justeru itu kehadiran Dr. Hassan ke himpunan tidak wajar menjadi topik polemik mana-mana pihak kerana tindakannya tidak bercanggah dengan mana undang-undang dan prinsip demokrasi.

Partinya dan kerajaannya juga tidak membuat peraturan yang melarangnya hadir di majlis itu.

Hassan memiliki kelebihan dan keistimewaan dari lain-lain orang politik termasuk Dr. Mahathir. Orang lain payah pisahkan politiknya bila menyertai mana-mana kegiatan yang bebas politik. Kalau Dr. Mahathir dan isteri singgah ke mana-mana gerai di pasar malam atau Najib jenguk pondok India miskin, tanpa sebarang motif politik, tetapi orang kata adalah politiknya.

Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.

Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.

Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.

Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.

Dalam polemik kehadirannya itu dia telah menyatakan pendiriannya tentang mengapa dia hadir walau pun partinya membuat keputusan tidak hadir. Kenyataannya itu langsung tidak berbau politik dan tiada sebarang kesan politik. Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.

Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.

Kata saya, ‘Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.’

Dia menang. Dia kata pada saya, ‘Orang cepat naik, cepat juga turun...!’

Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya.

Sumber: Tranungkite.net
Dikuasakan oleh Blogger.