Header Ads

Irfan Bakti tinggal Terengganu, Mat Zan ambil alih

WarkahDaily – Kebangkitan Terengganu menjadi gergasi bola sepak Pantai Timur tidak dapat dipisahkan dari pengendali Irfan Bakti Abu Salim selaku arkitek yang membina sebuah pasukan yang mantap sehingga berjaya membawa Terengganu menjuarai Piala FA, naib juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia bagi musim 2011.


KENANGAN: Irfan dijulang para pemainnya selepas Terengganu menjuarai Piala FA musim 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagi Irfan, tahun ini adalah tahun untuk Terengganu dalam bola sepak dan beliau berjaya membawa pasukan itu digeruni dalam kancah bola sepak tempatan.

Namun dua musim bersama Terengganu berakhir dengan perpisahan yang mungkin meninggalkan kenangan buat kedua-dua pihak.

Dalam sidang media semalam, Irfan berundur dari melatih Terengganu pada musim depan selepas beliau mengumumkan tidak akan menyambung kontraknya yang akan berakhir pada 31 November ini bersama pasukan Terengganu.

Bagi jurulatih kelahiran Kelantan yang berusia 60 tahun itu, pengumuman pengundurannya itu adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

“Saya telah berbincang dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk tidak menyambung kontrak bersama Terengganu. Tiada paksaan dan keputusan ini dibuat dengan persetujuan kedua-dua belah pihak,” katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

Bagi Irfan, Terengganu merupakan antara pasukan paling bagus pernah dibimbingnya dan dia tidak akan melupakan negeri Penyu itu.

Dipetik dari Bernama, Irfan berkata beliau begitu berat hati untuk membuat keputusan meninggalkan pasukan dan pemainnya, namun terpaksa membuat keputusan itu demi masa depan pasukan dan dirinya.

“Memang sedih nak tinggalkan negeri ini dan pemain, namun di saat ini saya terpaksa buat keputusan ini demi masa depan pasukan dan diri sendiri,” kata Irfan.


Mat Zan Mat Aris
Menurut sumber, jurulatih itu dilamar pasukan Selangor namun ianya belum diperkatakan oleh Irfan walaupun beliau berkata pernah mendapat tawaran pasukan lain dan beliau mungkin menyahut cabaran itu kerana beliau suka kepada cabaran.

Pemergian Irfan Bakti turut dilaporkan Terengganu bakal dikemudi oleh jurulatih Terengganu pada musim depan. Nama bekas pengendali yang pernah membawa Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali pada 2009, Mat Zan Mat Aris disebut-sebut bakal mengambil alih tempat Irfan Bakti.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh, pihaknya telah mendapatkan persetujuan lisan daripada Mat Zan, yang juga jurulatih kelab Pos Malaysia FC, namun butir-butirnya tidak dapat didedahkan kerana ia belum secara rasmi.

Che Mat berkata, PBSNT akan berbincang dengan Mat Zan dalam masa terdekat untuk mendapatkan jawapan yang pasti.

“Kita telah berhubung dengan Mat Zan mengenai perkara ini dan beliau bersetuju, namun itu hanya melalui lisan belum ada hitam putih,” katanya.

Dikuasakan oleh Blogger.