Header Ads

Kaveat tanah Kelab Golf Subang dibiar luput cetus tanda tanya

Pasukan petugas khas Kelab Golf Negara Subang (KGNS), berusia lebih empat dekad, membenarkan kaveat tanah yang dipajak agar luput Jun lalu dalam usaha mengekalkan hubungan presiden kelab dengan pentadbiran Najib, demikian menurut dokumen diperoleh The Malaysian Insider.

Tindakan panel itu tanpa memperoleh kelulusan ahlinya boleh menyebabkan kelab tersebut menanggung kos berbilion ringgit memandangkan pemilik tanah rasmi, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pula telah memulakan tindakan untuk memaksa mereka membayar kadar pasaran bagi tanah seluas 330 ekar, yang terletak di tengah-tengah kawasan pesat membangun seperti Subang Jaya, Ara Damansara, Kelana Jaya dan Bandar Sunway.

Pasukan petugas berkaitan isu tanah kelab telah mengadakan mesyuaratnya pada 17 Jun lalu, enam hari sebelum kaveat yang difailkan pada 2004 luput dan memutuskan untuk tidak melanjutkan kaveat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden kelab Tan Sri Megat Najmuddin Khas dan dihadiri oleh beberapa anggotanya.

“Kami tidak mahu intimidasi kerajaan yang merupakan pemilik berhak ke atas tanah itu. Bagi mengelak mengaibkan Presiden KGNS yang telah beberapa kali memberi taklimat kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri mengenai pertikaian tanah dan keperluan untuk mencari penyelesaian terbaik,” kata minit mesyuarat pasukan petugas itu yang bertemu 17 Jun lalu.

Ia merupakan sebagaian daripada lampiran dihantar kepada ahli-ahli kelab menjelang mesyuarat tahunan luar biasa pada 20 November ini untuk membincangkan pertikaian tersebut.

Difahamkan ahli-ahli kelab tidak diberitahu mengenai keputusan membenarkan kaveat itu luput. Malah pihak berkuasa tanah juga tidak tahu bahawa mereka telah memfailkan saman pemula pada 23 Ogos meminta kaveat itu dikeluarkan.

Pesuruhjaya juga memohon kerugian dan kos-kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun ahli-ahli kelab berhujah bahawa kelab itu sudah pun membayar pajakan bagi tempoh 99 tahun dan cukai tanah RM9,900 sejak penubuhannya.

Kelab itu telah membayar RM1.8 juta, pada kadar sebanyak RM5,000 setiap bulan antara 1980 dan 2010 bagi pinjaman RM1 juta yang diberikan dengan kadar faedah bagi membangunkan kelab golf itu pada 1968.

Difahamkan beberapa ahli sedang mempertimbangkan tindakan untuk menyaman ahli-ahli pasukan petugas kerana mengabaikan tanggungjawabnnya tidak menjaga kepentingan kelab apabila mengadakan perundingan dengan Putrajaya.

“Mereka kelihatan mahu menjaga kepentingan hubungan presiden berbanding kelab. Itu salah,” kata seorang anggota kelab yang enggan namanya disiarkan.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa status tanah itu telah berlanjutan beberapa tahun tetapi keadaan menjadi meruncing apabila kerajaan persekutuan memutuskan untuk memfailkan kes saman ke atas tanah itu.

Kes saman menimbulkan spekulasi bahawa tanah itu sedang diteliti oleh kerajaan untuk dijual bagi pembangunan hartanah bernilai tinggi.

Laporan Straits Times Singapura juga melaporkan kes saman itu dengan berkata tanah kelab tersebut dianggarkan mempunyai nilai komersial RM5 bilion ataupun lebih.

Sumber: themalaysianinsider.com
Dikuasakan oleh Blogger.