Header Ads

Malaysia kalah kepada Bahrain selepas mendahului dua gol

Biarpun Bahrain bermain dalam sepuluh pemain, namun Malaysia gagal mengekang kemaraan mereka apabila tewas 3-2 dalam perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik, Kumpulan C, di Stadium Bukit Jalil.


Mahalli Jasuli (kanan) mengejar bola semasa menentang Bahrain dalam perlawanan Kumpulan C Pusingan Kelayakan Olimpik di Bukit Jalil awal malam tadi. | foto AFP
Apa yang lebih sukar untuk diterima peminat, Bahrain berjaya bangkit daripada ketinggalan 2-0.

Pada awalnya, rembatan luar kotak penalti oleh Muhammad Nazmi pada minit ke-27 meletak Malaysia didepan dengan kedudukan 1-0. Nazmi yang mengawal kemas hantaran jauh daripada bawah, berjaya melepaskan rembatan di luar kotak penalti ke arah sudut kanan gol untuk menewaskan penjaga gol Bahrain, Ashraf Waheed.

Gol tersebut nyata menaikkan semangat Malaysia untuk melakukan serangan-demi serangan, sekaligus mengubah corak permainan untuk lebih agresif.

Tersentak dengan gol tersebut, Bahrain turut tidak terlepas melakukan serangan-serangan berbahaya di kubu Malaysia. Fahad Tareq menerima nasib apabila menerima kad merah selepas mengasari Mohd Affize Faizal pada minit ke 55, dalam pada ketika dia turut mengerang kesakitan.

Dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Bahrain, Mahali Jasuli kemudiannya tampil menjaringkan gol kedua pada minit ke 60.

Sorakan penyokong di stadium tiba-tiba senyap apabila Bahrin meraih gol pertama mereka menerusi Saad Sazah pada minit ke 60. Pada minit ke 84, Bahrain menyamakan kedudukan menerusi pemain yang sama. Seminit kemudian, Isa Ahmed pula muncul wira Bahrain apabila merembat masuk menerusi sepakan percuma untuk menewaskan Kharul Fahmi.

Sebelum itu, peluang kemasan diperolehi Wan Zack Haikal tetapi, gagal disempurnakan dengan baik pada minit ke-8. Di awal permainan, Bahrain turut memiliki peluang terbaik apabila hantaran cantik melewati pintu gol yang terbuka luas gagal disempurnakan oleh Sami Mohamed pada minit ke-17.

Pada minit ke-37, Thamil Arasu dilayangkan kad kuning kerana tidak mengendahkan tiupan wisel pengadil selepas dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Penampilan Wan Zack Haikal tidak menyerlah sehingga Ong Kim Swee terpaksa menggantikannya dengan Shahrul Azwari pada minit ke-40.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.