Header Ads

Naik taraf pegawai berkelayakan: Pandangan PAS diterima kementerian Pelancongan

Pandangan PAS agar pegawai-pegawai Kementerian Pelancongan yang berkelayakan dinaiktaraf diterima dengan baik oleh kementerian itu.

Pandangan tersebut dikemukakan oleh PAS bagi membolehkan pegawai-pegawai terbabit diiktiraf dalam Jusa demi memanfaatkan kebolehan mereka untuk kepentingan perkembangan bidang pelancongan negara.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, sehingga kini kedudukan pegawai-pegawai kementerian terbabit berada dalam kedudukan yang tidak sewajarnya, walaupun mereka mempunyai kebolehan tersendiri.

Menurut beliau, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja menganiaya pegawai-pegawai terbabit, tetapi boleh menjejaskan keyakinan pelbagai pihak terhadap kebolehan mereka.

Katanya, disebabkan kejadian itu, banyak pihak berasa kurang yakin untuk berbincang dengan mereka berhubung sesuatu perkara kerana diyakini gagal untuk menyelesaikan sesuatu masalah berbangkit dalam usaha untuk mengembangkan bidang pelancongan negara.

"Contohnya termasuk berhubung sesuatu masalah besar seperti yang berkaitan perbincangan makmal," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan peringkat Kementerian Pelancongan oleh timbalan menteri terbabit pada persidangan Dewan Rakyat, kelmarin.

Disebabkan keadaan itu, menurut beliau, pegawai-pegawai kementerian terbabit pasti akan turut dipandang rendah oleh pelancong-pelancong asing sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap pegawai-pegawai tersebut.

"Padahal, pegawai-pegawai itu juga mempunyai kebolehan dan memang telah memainkan peranan yang baik bagi perkembangan industri pelancongan negara.

"Oleh itu, mereka selayaknya dinaik taraf setandiing dengan pegawai-pegawai lain yang berada dalam Jusa," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit ketika menyambung penggulungannya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas pandangan tersebut kerana ia ternyata satu pandangan yang baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mambong ternyata dapat memahami dengan baik pandangan tersebut dan berjanji akan membawanya ke peringkat perbincangan di peringkat atasan nanti.
Dikuasakan oleh Blogger.