Header Ads

Rakyat Sabah semakin menerima PAS

KOTA KINABALU: Keunikan negeri Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan suku merupakan satu anugerah Tuhan yang tidak ternilai.

Mohd Zulfikar
Faktor georafi dan demografi yang timbul tidak sama sekali mematahkan semangat Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) untuk bergiat cergas dan aktif ditengah-tengah lautan manusia.

Ketua Penerangannya Mohd Zulfikar Abd Mijan berkata, PAS sudah mula dikenali oleh semua lapisan masyarakat Sabah tanpa mengira kaum dan keturunan.

“PAS sudah mula diminati oleh golongan remaja dan anak muda. Masuklah ke kampong-kampung sejauh pedalaman di Keningau, PAS sudah mula dibicarakan dibibir mulut rakyat,” jelasnya hari ini.

Menurutnya, isu penjualan pulau Sabah yang didedahkan oleh PAS baru-baru ini mula membuka mata masyarakat Sabah tentang perjuangan PAS untuk menyediakan kemudahan dan membawa kemajuan kepada rakyat.

PAS Sabah, kata Mohd Zulfikar, bukan lagi hanya berkisar dipenjuru masjid dan surau serta disebalik dinding-dinding konkrit sahaja malah sudah menjangkaui masa dan hadir di setiap sudut serta di seluruh pelusuk jajahan negeri Sabah.

“Kita bukan sekadar mampu nak kendali program-program keagamaan sahaja. PAS sudah tembusi masjid dan surau… PAS juga telah berjaya menguasai setiap sempadan negeri Sabah,” dakwa beliau ketika ditemui di Pejabat Pemuda PAS Sabah.

Ketika ditanya mengenai kemampuan Pemuda PAS untuk menjadi teras dan keutamaan suara rakyat, beliau berkata PAS Sabah sudah bersedia untuk mewakili golongan sasar seperti golongan belia dan anak muda, termasuk mana-mana kaum sebagai generasi pelapis bagi mengetengahkan isu dan rintihan mereka.

“PAS Sabah akan menjadi dominan dan penyebar rintihan mereka. Sudah lama mereka ini disisihkan dari arus pembangunan yang di bawa oleh Barisan Nasional (BN) tanpa kerelaan mereka.

Suara rakyat

“Kita mampu membawa suara rakyat ke persada politik. PAS bukan parti politik semata-mata kerana lahirnya PAS juga mewakili suara dakwah dan tarbiyah,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapatnya unsur fitnah yang dibawa golongan tertentu yang berasa terancam setelah melihat kemajuan perjuangan PAS di bumi Sabah.

“Saya memperingatkan bahawa masyarakat Sabah supaya jangan mudah mempercayai berita-berita negatif terhadap PAS di sini. Ini kerana mereka merasa terancam kuasanya apabila berhadapan dengan PAS,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PAS Kawasan Pensiangan melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang lewat menyiapkan kerja-kerja naik taraf jalan Sinua dekat Sook, Keningau.

Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan, Hishammudin Sulaiman mendakwa, oleh sebab kelewatan itu maka jalan tersebut hanya sesuai untuk kenderaan kereta kebal sahaja.

Menurutnya, kesan balingan batu yang jelas dilihat di papan tanda projek berkenaan juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat sudah sampai di kemuncak.

PAS Pensiangan turut menyumbang sebanyak 40 kepingan zink kepada Kampung Sinaron, Terusmadi untuk digunakan bagi pembinaan surau di kampung tersebut.

Turut hadir memberikan sumbangan tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Selangor, Husni Zaim Mohmadan dan seluruh pimpinan PAS Kawasan Pensiangan.

Sumber: freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.