Header Ads

Skuad Harimau Muda berbangga, Harimau Malaya pula diaibkan

WarkahDaily – Ketika rakyat Malaysia berbangga dengan persembahan pemain Harimau Muda yang ‘membantai’ ego Indonesia dengan kemenangan 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno semalam, sebaliknya pula nasib skuad senior, Harimau Malaya telah diaibkan pasukan tak ternama India, malam kelmarin.


PEMAIN India Chetri (tengah) mengawal bola sambil disaksikan pemain Malaysia Mohd. Faizal (kiri) dan Mohd. Bunyamin di Kolkata, India kelmarin. | foto AFP
Dalam aksi persahabatan kedua antarabangsa itu, anak buah Datuk K. Rajagobal terpaksa menanggung malu dengan pasukan tangga 160 ranking FIFA, India apabila tumpas 2-3 di Stadium Salt Lake, Kolkata.

Sebelum itu, dalam aksi persahabatan pertama, skuad Harimau Malaya kurang menyengat apabila sekadar seri 1-1 dengan lawan yang sama di Guhawati pada Ahad lalu.

Dipetik dari Kosmo.com.my, Harimau Malaya yang berada di ranking FIFA yang jauh lebih baik daripada tuan rumah, anak buah Datuk K. Rajagobal tapi terpaksa akur dengan kehebatan India yang memenangi perlawanan itu menerusi dua jaringan Sunil Chetri (minit ke-41 dan ke-53) dan Jeje Lalpekhlua pada minit ke-47.

Sementara dua gol saguhati Malaysia pulang dijaringkan oleh penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali pada minit ke-45 dan ke-60.

Dengan kekalahan itu, tidak mustahil misi pasukan negara yang sebelum ini mahu menjadikan perlawanan persahabatan kali ini bagi memperbaiki ranking FIFA setelah menghuni tangga ke-151 barangkali ‘makan tuan’ berdasarkan ranking India yang jauh lebih rendah iaitu ke-160.

Ranking terbaharu FIFA akan dikeluarkan badan induk itu pada 23 November depan.

Begitupun, masih terlalu awal untuk menghukum skuad bola sepak kebangsaan memandangkan Rajagobal dilihat banyak menurunkan muka-muka baharu termasuk pemain sayap Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah dan penjaga gol baharu Selangor, G. Jeevananthan untuk diuji dalam perlawanan itu.

Ketiadaan kapten, Norhafiz Zamani Misbah yang tidak diturunkan malam kelmarin gara-gara kecederaan juga memberi kesan terhadap benteng pertahanan negara yang dilihat gagal menyerap asakan bertali-arus tuan rumah.

India yang terlebih dahulu meledak gol pendahuluan menerusi Chetri begitupun tidak diberikan laluan mudah oleh pasukan negara yang menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila Safee yang tidak dikawal mudah menyempurnakan hantaran Shahurain.

Namun, dua gol pantas dalam tempoh lima minit oleh Chetri dan Lalpekhlua sebaik babak kedua bersambung ternyata merentap semangat juang Harimau Malaya sehingga memaksa Jeevananthan dikeluarkan untuk digantikan dengan Sharbinee Alawi.

Malaysia yang masih tidak berputus asa berjaya merapatkan kedudukan apabila Safee bijak memanfaatkan hantaran jauh Safiq Rahim sebelum membuat rembatan deras melepasi jangkauan penjaga gol India, Roy Chowdry pada minit ke-60.

Peluang terbaik pasukan pelawat menyamakan kedudukan hadir kira-kira 10 minit terakhir permainan apabila penyerang gantian, Khyril Muhymeen Zambri yang berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan tuan rumah begitupun hampa apabila rembatannya berjaya ditepis oleh Chowdry.

Kekalahan memilukan itu pastinya menambah duka skuad kebangsaan yang masih gagal memenangi perlawanan antarabangsa berstatus A di gelanggang lawan sejak April 2009.

Dikuasakan oleh Blogger.