Header Ads

Suri rumah terkejut gambar wanita separuh bogel pada iklan yang diedar di rumah

SEREMBAN: Seorang suri rumah terkejut apabila melihat gambar wanita separuh bogel dipaparkan pada iklan sebuah syarikat penjagaan diri dalam katalog yang diedarkan di sekitar kawasan kediamannya di bandar ini, baru-baru ini.

Hasnidah (bukan nama sebenar), 29, berkata, keadaan itu disedarinya semasa sedang membelek-belek katalog berkenaan di rumahnya.

“Saya berasa sangat malu apabila melihat gambar pada iklan terbabit yang seolah-olah ingin mengeksploitasi tubuh wanita untuk menarik perhatian pelanggan.

“Syarikat penjagaan diri dan penerbit katalog sepatutnya bersikap lebih peka terhadap sensitiviti orang ramai terutamanya kaum wanita dan orang Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih dikesali, katalog terbabit diedarkan secara terbuka kepada orang ramai dan sesiapa sahaja boleh memperolehinya dengan mudah termasuk kanak-kanak.

Kata Hasnidah, syarikat berkenaan sepatutnya memikirkan kaedah-kaedah lain untuk mempromosi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

“Iklan sebegini kelihatan seperti merendahkan martabat kaum wanita dengan menganggap mereka sebagai pelaris produk sahaja.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan memantau dan mengambil tindakan agar gambar yang menjolok mata ini tidak dipaparkan lagi dalam katalog berkenaan,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.