Header Ads

Akta Perhimpunan: Umno-BN hina taraf pemikiran rakyat selepas lebih 50 tahun merdeka

Pas menyifatkan Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai menghina taraf pemikiran rakyat selepas lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Mustaffa Ali (gambar) berkata, akta yang baru diwujudkan itu sebenarnya lebih menyusahkan.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, antaranya akta itu menghapuskan keperluan mendapatkan permit polis untuk sebarang aktiviti politik tetapi penganjur perlu memaklumkannya 30 hari sebelum sesuatu program berlangsung kepada pihak polis.

“Akta yang baru diwujudkan ini lebih menyusahkan dan cubaan menggagalkan sebarang aktiviti Pas. Pas Terengganu menyedari perkara ini kerana mempunyai banyak pengalaman dan sudah biasa ditekan, diugut dan dihalang berbanding dengan Pas di negeri lain,” katanya.

Dakwanya, akta itu direka cipta oleh Umno dan BN untuk mencengkam dan mengawal aktiviti Pas.

“Memansuhkan akta lama dan menggantikan dengan akta baru sama seperti kata pepatah Melayu iaitu ‘keluar dari mulut buaya masuk ke dalam mulut harimau’.

“Ini semua timbul setelah Umno dan BN berada dalam keadaan cemas dan hilang pedoman serta kewarasan, apatah lagi inilah kali pertama sejak merdeka, Umno dan BN akan menghadapi dan memasuki Pilihan Raya Umum (PRU) dalam keadaan lima negeri berada di tangan Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima PRU Pas Kawasan Kemaman 2011 yang diadakan di Taman Islam, Kemaman, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Saiful Bahri Mamat mewakili Badan Perhubungan Pas Terengganu.

Seramai lebih 400 petugas parti dari pelbagai peringkat di cawangan, unit peti undi, Majlis Tindakan Dun dan ahli jawatankuasa kawasan serta dewan-dewan turut hadir.

Menyentuh mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC), Mustaffa mendakwa, penubuhan jawatankuasa itu tidak lain adalah satu helah Umno dan BN untuk menunjukkan kepada rakyat, pilihan raya yang telah dan akan diadakan adalah adil dan telus.

Begitupun Pas tetap akan menerima pelantikan wakilnya menganggotai PSC sebagai ruang dan usaha terakhir menghapuskan kebobrokan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Mustaffa turut menjangkakan golongan muda Islam bakal menggalas amanah rakyat menerajui kerajaan Terengganu selepas PRU Ke-13 nanti berdasarkan keadaan politik semasa di negeri ini.

Beliau berkata, jangkaan itu berlandaskan senario semasa di mana pengundi muda mewakili hampir 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang fikirannya terbuka dan tidak jumud dengan sesuatu pendapat dan berita sahaja.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut mengingatkan semua petugas Pas untuk melipatgandakan kerja dan usaha secara bersasaran.

“Kekuatan petugas Pas terletak pada akidah yang kuat dan mantap yang tidak terdapat pada pekerja Umno yang bergerak dengan kekuatan fulus,” katanya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.