Header Ads

Antara turun bendera Najib dengan 'hadiah' kek berupa tahi, mana lebih matang

Pemimpin pelajar, Adam Adli mengulas kritikan dan ugutan oleh pemimpin Umno, yang antara lain menyifatkan beliau tidak matang kerana menurunkan bendera berkenaan.

"Bagi saya ia matang bagi orang yang memahami isu dan menerima keadaan bahawa mahasiswa sekarang ditekan.

"Malah bagi saya, banyak lagi tindakan yang jauh lebih tidak matang yang dilakukan pihak lain seperti menyerahkan kek berupa tahi dan sebagainya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini. Adakah bagi mereka tindakan ini matang?," soalnya.

"Adakah mereka sedar tindakan turun naik bendera ini tidak pernah menjadi kesalahan mana-mana tempat dalam dunia ini? jadi saya tahu perkara yang salah dan betul.

"Jika tindakan itu dikira jenayah, sudah tentu saya teragak-agak untuk melakukannya. Ini adalah satu bentuk ekspresi saya. Sebab itu saya percaya mereka yang mengugut saya ini tidak tahu apa-apa langsung mengenai diri saya," tambahnya.

Ditanya lanjut, Adam, 22, yang mendapat sokongan penuh ibubapanya dalam tindakan itu berkata, beliau secara khusus tidak akan meminta maaf kepada perdana menteri walau digesa berbuat demikian.

"Saya tidak akan minta maaf. Selepas perkara ini berlarutan sehingga ke tahap ini, tiba-tiba pula saya didesak untuk minta maaf.

"Bagaimana pula dengan rakan-rakan saya? Saya tidak mahu rakan-rakan saya jatuh semangat sekiranya saya minta maaf," katanya.

Namun, Adam menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk tidak meminta maaf buat selama-lamanya.

"Pada satu tahap nanti saya perlu juga minta maaf kepada beberapa orang berikutan tindakan saya ini," katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.