Header Ads

Audit Negara sahkan Jamil Khir guna wang zakat namun sudah dikembalikan

Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain.


Jamil Khir Bahrom
Kos guaman itu adalah bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

Menurut laporan tersebut, Che Mat telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010, daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurutnya lagi, pada 29 April 2010, MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM32,150 juga menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu.

Laporan itu menyebut, MAIWP melantik firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir mewakili mereka atas pegangan jawatan mereka dalam MAIWP.

Laporan Audit Negara menjawab soalan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Seri Azmi Khalid, oleh tiga ahli parlimen - Saifuddin Nasution Ismail (Machang), Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Jawapan Azmi yang melampirkan laporan Audit Negara itu bertarikh 14 Disember, dan disiarkan dalam blog Nurul Izzah.

Laporan itu menyebut bahawa peruntukan wang zakat yang didahulukan itu, telah dibayar balik sebelum penutupan akuan MAIWP tahun 2010 dan telah disahkan oleh pihak audit.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.